Larian inovasi (innorace), Wilayah Pantai Timur 2010
Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeli
Jeli, Kelantan
20 Mac 2010
Assalammualaikum ;
Yang dihormati Saudara Pengerusi Majlis;
- Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Aziz Derashid
Pengerusi Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan
- Yang Berbahagia Tuan Haji Abdul Manan bin Ali
Ketua Jajahan Jeli
- Dato’ - Dato’, tetamu-tetamu kehormat, ketua-ketua jabatan, pengurus-pengurus serta wakil organisasi, para peserta larian inovasi peringkat wilayah pantai timur 2010, tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
2. Pertama sekali, saya ingin mengalu-alukan kehadiran Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Aziz Derashid ke Majlis Penyampaian Hadiah kepada pemenang-pemenang Larian Inovasi Peringkat Wilayah Pantai Timur 2010.
3. Kami merasa amat bertuah kerana Yang Berhormat Dato’ dapat meluangkan masa bersama-sama bagi menyampaikan ucapan dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang acara Larian Inovasi Peringkat Wilayah Pantai Timur 2010 meskipun Yang Berhormat mempunyai jadual tugas yang begitu padat.
4. Saya mewakili pihak penganjur mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ di atas kesudian beliau menghadiri majlis ini.
Dato’- dato’, tuan-tuan dan puan-puan,
5. Acara Larian Inovasi atau Innorace yang diadakan ini adalah merupakan larian inovasi yang pertama dalam siri penganjuran Innorace di seluruh malaysia bagi tahun 2010. Mengikut perancangan awal, terdapat sebanyak 4 lagi acara Innorace yang telah dijadualkan di beberapa buah daerah seperti yang berikut :
- Sabah 17 April 2010
- Wilayah Utara 8 Mei 2010
- Wilayah Selatan 12 Jun 2010
- Wilayah Tengah 31 Julai 2010
6. Kemuncak bagi acara ini adalah siri Larian Inovasi Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada 31 Julai 2010 di Kuala Lumpur.
7. Siri larian yang akan diadakan di peringkat kebangsaan terdiri daripada peserta yang terpilih dari siri larian inovasi bagi setiap wilayah atau negeri termasuklah acara larian yang berlangsung pada hari ini.
8. Untuk makluman YB. Dato’ dan para hadirin sekalian, acara larian inovasi yang diadakan ini telah disertai sebanyak 169 buah kumpulan dengan jumlah penyertaan seramai 875 peserta mewakili organisasi swasta, kerajaan dan masyarakat setempat secara umumnya. Daripada jumlah tersebut, peserta yang terlibat dapat dibahagikan kepada beberapa kategori berikut :
- Warga perkhidmatan awam = 36 kumpulan (210 peserta)
- Syarikat swasta, belia, ngo dan eks = 62 kumpulan (310 peserta)
- Pelajar IPT dan sekolah = 71 kumpulan (355 peserta)
9. Objektif utama MPC menganjurkan acara ini adalah untuk meningkatkan kesedaran bagi semua sektor masyarakat mengenai produktiviti, kreativiti dan inovasi serta persekitaran dan daya saing melalui aktiviti sukan dan riadah di samping menerapkan unsur-unsur kerjasama secara berpasukan.
10. Dalam penganjuran siri larian ini, MPC telah mendapat bantuan dan kerjasama yang berterusan daripada agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta di Jajahan Jeli terutamanya daripada Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli yang bersama-sama merancang dan menyelaras persediaan penganjuran siri larian ini.
11. Kesempatan ini juga, kami ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada:
- Tuan Haji Abdul Manan, Ketua Jajahan Jeli;
- Wakil-wakil daripada Majlis Daerah Jeli;
- Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jajahan Jeli;
- Jabatan Penerangan;
- Jabatan Belia dan Sukan;
- Rela;
- Jabatan Kesihatan Jeli;
- Pasukan Bulan Sabit Merah;
- Persatuan Belia dan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO);
- Jawankuasa Kemajuan Kampung (JKKK);
- Fama;
- Penggawa dan Penghulu;
- Mara; dan
- Beberapa agensi kerajaan lain dan syarikat-syarikat swasta yang telah terlibat di dalam memberikan sokongan dan komitmen yang tinggi bagi menjayakan acara larian pada hari ini.
12. Bagi MPC, acara larian yang diadakan ini merupakan satu platform bagi memberi penjelasan kepada masyarakat tempatan mengenai peranan dan tanggungjawab berserta aktiviti-aktiviti yang ditawarkan.
13. Pameran amalan terbaik yang diadakan sempena dengan acara ini juga adalah bertujuan untuk memberikan maklumat mengenai inovasi, produktiviti, kualiti dan daya saing. Selain daripada MPC, beberapa syarikat EKS dan agensi-agensi kerajaan di kawasan Jeli telah turut serta dijemput untuk menyertai pameran sempena dengan penganjuran larian ini.
Dato’- Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan,
14. Selaras dengan dasar kerajaan yang menggalakkan peningkatan produktiviti melalui inovasi, bermula pada tahun ini, MPC telah memantapkan lagi aktiviti-aktiviti yang lebih menjurus kepada usaha-usaha membantu negara mencapai tahap ekonomi berprestasi tinggi.
15. Justeru itu, program-program MPC sedia ada telah diubahsuai berorientasikan kepada transformasi dan inovasi industri. Usaha-usaha ini juga memerlukan jalinan yang mantap dari pelbagai pihak untuk sama-sama berkongsi dan sekaligus menjayakan misi nasional ini.
16. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Aziz Derashid yang sudi melapangkan masa bagi menyampaikan ucapan selepas ini dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang Larian Inovasi pada kali ini.
17. Ucapan terima kasih saya juga kepada semua agensi dan jabatan, pertubuhan sukarela, NGO serta beberapa syarikat swasta yang telah membantu MPC dalam melaksanakan siri larian pada kali ini.
18. Kepada semua peserta yang telah mengambil bahagian, saya berharap agar tuan-tuan dan puan-puan telah pun mendapat pengalaman baru melalui acara ini dan syabas diucapkan kepada para pemenang acara larian inovasi pada kali ini.
19. Terima kasih
20. Waalaikumsalam