9 MAC 2011 (KHAMIS), 8.30 PG.
DEWAN PRODUKTIVITI MPC
YB Dato’ Mukhriz Tun Mahathir,
Timb. Menteri (Perdagangan), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,
Y. Bhg. Datuk Dr Rebecca Fatimah Sta Maria,
Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,
Yang Berusaha En. Mohd Razali Hussain
Ketua Pengarah, Perbadanan Produktiviti Malaysia
Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Ketua-ketua dan wakil Agensi MITI,
Tuan-tuan dan puan-puan warga MPC dan MITI sekalian.
Assalamualaikum WBT, dan Salam 1Malaysia.
1. Saya mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada MPC kerana menjadi tuan rumah Perhimpunan Bulanan MITI pada pagi ini. Ini merupakan perhimpunan kali kedua untuk tahun 2011.
2. Setelah dua bulan berlalu di tahun 2011, marilah kita merenung pencapaian terhadap segala urusan yang perlu kita lakukan, saya percaya kita semua sememangnya berazam untuk mengulangi kejayaan meningkatkan lagi usaha di sepanjang tahun ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Penjenamaan Semula
3. Ini adalah kali kedua lawatan saya ke MPC dan dalam tempoh tersebut saya telah menyaksikan perubahan yang berlaku dari segi fizikal serta kefungsian. Penjenamaan semula serta kepercayaan YB Perdana Menteri yang memberi mandat baru telah membuktikan kemampuan MPC dalam menyumbang ke arah pembangunan ekonomi Negara.
4. Saya harap dengan fungsi dan perwujudan jabatan baru di MPC, seluruh warga MPC akan memberi komitmen padu untuk sama-sama mencapai aspirasi kerajaan khususnya di dalam dua bidang strategik iaitu pemodenan perniagaan dan inovasi perusahaan (enterprise). Sokongan dan penglibatan yang berterusan dari MITI dan agensi juga diharap dapat membantu MPC dalam melaksanakan fungsi baru tersebut.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Budaya Kreativiti dan Inovasi
5. Kerajaan mempunyai matlamat untuk memupuk budaya inovasi atau reka cipta di kalangan rakyat Malaysia. Inovasi yang dimaksudkan ini tidak terhad kepada bidang sains dan teknologi sahaja, sebaliknya melibatkan semua bidang termasuk ICT, animasi, pertanian, kesihatan dan lain-lain.
6. Dalam aspek ini saya amat berbangga dengan penglibatan warga MPC serta wakil-wakil agensi MITI dalam program menjana idea-idea kreatif melalui sesi Innovation Jam 2011 baru-baru ini. Program dengan tema Making Ideas Work ini merupakan salah satu platform untuk warga berkongsi dan menyampaikan idea kreatif yang boleh dilaksanakan untuk penambahbaikan berterusan. Program seumpama ini seharusnyalah menjadi sebahagian dari budaya kerja di kalangan warga MITI dan agensi.
7. Saya juga difahamkan lapan idea kreatif dari tujuh warga MPC telah dipilih antara penyumbang cadangan terbaik dalam program cabaran PEMUDAH Satu Juta Ringgit untuk Seribu Idea. Warga MPC yang pada dasarnya mewakili MITI juga merupakan penyumbang terbanyak dari jumlah keseluruhan cadangan yang diterima oleh PEMUDAH iaitu 135 cadangan daripada 1,105 cadangan keseluruhan. Tahniah dan syabas!
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Persekitaran Berkualiti
8. Amalan Persekitaran Berkualiti melalui program 5S juga merupakan salah satu usaha di peringkat akar umbi dalam mengamalkan aktiviti penambahbaikan secara berterusan. Dengan ini saya berharap kepada agensi yang masih belum mendapat persijilan Persekitaran Berkualiti supaya memulakan inisiatif tersebut dan menjadi contoh kepada masyarakat awam dan swasta dalam mengamalkan program persekitaran berkualiti.
Green Productivity
9. Saya juga dimaklumkan bahawa program Anugerah Hijau telah dilancarkan semalam di MPC yang mensasarkan kepada golongan remaja sekolah dan belia yang merupakan komponen penting dan peringkat usia remaja dalam memulakan didikan amalan hijau ini. Saya juga merasakan budaya inovasi yang cuba kita terapkan dalam amalan ’Green Productivity’ atau Produktiviti Hijau ini wajar digandingkan dalam pelbagai aspek kehidupan kita. Aplikasi ’Green Productivity’ dilihat sebagai salah satu penyelesaian yang digunakan oleh banyak negara dalam menangani isu tenaga dan alam sekitar secara menyeluruh untuk mencari kaedah yang paling efisien dan efektif ke arah penjimatan tenaga.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Budaya Membaca
10. Budaya membaca di kalangan masyarakat adalah sangat penting yang berupaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara melalui percambahan ilmu pengetahuan dan kemahiran.
11. Sesuai dengan saranan untuk menggalakkan budaya membaca di kalangan masyarakat, MPC telah menghasilkan 55 buah penerbitan pada tahun 2010. Penerbitan ini merangkumi pelbagai rencana dan penulisan mengenai produktiviti, daya saing, kecemerlangan organisasi, kreativiti dan inovasi. Sebahagian daripada penerbitan ini adalah dalam bentuk percetakan dan sebahagian pula dikeluarkan dalam bentuk digital dan e-Publications.
12. Semasa Persidangan Daya saing yang diadakan di Dewan MATRADE pada tahun lalu saya telah memberi saranan supaya MPC menterjemahkan buku bertajuk Malaysia Innovators ke dalam Bahasa Malaysia. Ini bertujuan untuk membolehkan beberapa golongan sasar yang lebih cenderung membaca dalam Bahasa Malaysia mendapat faedah daripada rencana-rencana yang terdapat dalam buku tersebut. Buku ini merupakan rangkuman kisah-kisah inovator dari Malaysia berkongsi pengalaman sebelum mencapai kejayaan pada hari ini.
13. Saya berbesar hati kerana MPC telah berjaya mengeluarkan terjemahan tersebut yang akan dilancarkan sebentar nanti.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
14. Ingin saya nyatakan di sini bahawa peranan warga MITI dan Agensi adalah sangat penting dalam menentukan pencapaian daya saing dan pertumbuhan ekonomi yang mampan. Saya percaya dengan semangat dan kerjasama berpasukan yang sentiasa diamalkan antara MITI dan agensi akan berjaya mencapai satu aspirasi ke arah memartabatkan kreativiti, inovasi dan daya saing negara.
15. Saya berharap semoga MPC dan agensi MITI akan sentiasa mengekalkan kecemerlangan kerja dan saya sudahi dengan ucapan terima kasih dan tahniah kepada MPC atas penganjuran majlis Perhimpunan Bulanan MITI pada kali ini.
Sekian, terima kasih.