Peraturan-peraturan kerajaan yang ketinggalan atau yang kurang berkesan adalah dirujuk sebagai isu utama yang menjadi perhatian di kalangan komuniti perniagaan. Ketika ini terdapat lebih dari 3,000 peraturan-peraturan perniagaan yang dikendalikan oleh sekitar 900 agensi di peringkat persekutuan dan negeri. Kita memerlukan peraturan-peraturan yang lebih baik atau untuk memberikan manfaat secara optimum. Dengan kata lain, semakan diperlukan untuk modernisasi peraturan-peraturan yang dapat membentuk persekitaran perniagaan yang lebih cekap dan meminimumkan kos yang tidak perlu.
Terdapat beberapa peraturan yang ketinggalan zaman dan mungkin tidak relevan dalam persekitaran ekonomi semasa. Jadi, peraturan-peraturan lebih baik atau tersusun merupakan alat yang penting untuk mencapai sebahagian besar matlamat polisi awam. Manfaat utama dari peraturan-peraturan yang lebih baik adalah:
- Mengurangkan beban pentadbiran;
- Mengurangkan kos urusan perniagaan;
- Mempercepatkan resolusi isu-isu;
- Mengurangkan kos kerenah birokrasi;
- Meningkatkan produktiviti, dan
- Mempromosikan budaya inovatif dan kreatif.