| |
SHAH ALAM — Konvensyen Kumpulan Inovatif Kreatif (ICC) & Amalan Persekitaran Berkualiti (QE/5S) Wilayah Tengah anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menyokong inisiatif peningkatan produktiviti, daya inovasi serta kreativiti yang lebih tinggi. Konvensyen ICC Wilayah Tengah 2012 yang diadakan pada 26 dan 27 Jun 2012 bertempat di Shah Alam Convention Centre (SACC), Shah Alam, Selangor, menyaksikan penyertaan sebanyak 59 kumpulan ICC dan 18 organisasi peserta QE/5S yang membentangkan projek inovasi, kaizen serta pelaksanaan QE/5S mereka dengan jumlah keseluruhan peserta seramai 888 orang. Antara objektif utamanya adalah untuk menggalakkan pemesatan aktiviti ICC di seluruh negara dan memberi pendedahan kepada peserta mengenai aspek produktiviti dan kualiti dalam ICC. Selain itu, konvensyen ini memberikan ruang bagi berkongsi pengalaman di kalangan pelaksana Pengurusan Persekitaran Berkualiti (QE/5S) untuk meningkatkan kecekapan di tempat kerja, keberkesanan proses serta mempelajari amalan terbaik pelaksanaan Amalan Persekitaran Berkualiti dari organisasi cemerlang. Konvensyen ini turut memberi pengiktirafan kepada organisasi yang melaksanakan Sistem Pengurusan Persekitaran Berkualiti (QE/ 5S) dengan cemerlang. Antara sektor terlibat dalam aktiviti percambahan idea kreatif dan inovatif bagi menjamin kualiti produk dan perkhidmatan termasuk sektor awam, perkilangan, perkhidmatan, dan elektrik/elektronik. Pelaksanaan ICC terhadap kumpulan sasar diharap dapat melahirkan nilai kepada produk dan perkhidmatan yang diberikan, menambahbaik proses kerja dan peningkatan tahap kepuasan pelanggan, dan meningkatkan daya inovasi dan kreativiti di kalangan warga kerja dalam organisasi. Selain itu, peningkatan prestasi industri, peningkatan warga industri yang inovatif dan kreatif, peningkatan jaringan inovasi yang lebih berkesan, penambahan warga industri yang menyertai program-program yang berkaitan inovasi dan kreativiti and penambahan idea kreatif yang dapat dikomersilkan atau dipraktikkan turut diharap menjadi sebahagian daripada hasil konvensyen. Sistem Pengurusan Persekitaran Berkualiti (QE/ 5S) adalah kaedah pengurusan sumber dalaman yang terhad secara optima bagi meningkatkan daya saing organisasi. Kaedah ini melatih pekerja menjadi lebih berdisiplin serta merancang pengurusan proses untuk mendapatkan hasil lebih berkualiti melalui penjimatan kos yang efektif. Ketua Pengarah MPC, Dato` Mohd Razali Hussain berkata, aktiviti yang dijalankan sepanjang konvensyen selama dua hari itu sejajar dengan usaha kerajaan untuk mengharungi cabaran ekonomi negara menjelang tahun 2020. "Tiga konsep ekonomi yang perlu diterapkan untuk Malaysia mengharungi situasi ekonomi mencabar, seperti digariskan Perdana Menteri, Dato` Seri Najib Tun Razak adalah nilai tambah yang tinggi, ekonomi berasaskan inovasi dan produktiviti serta kreativiti". "Jadi saya yakin konvensyen ini secara menyeluruh akan memberi kesan langsung kepada pencapaian matlamat 2020`, katanya. Beliau turut melahirkan rasa gembira dengan penyertaan yang semakin meningkat dari sektor awam dalam konvensyen ini. "Peserta dari sektor awam meliputi 34 peratus, iaitu seramai 298 orang daripada jumlah keseluruhan peserta. Ini menunjukkan budaya inovasi dan penambahbaikan berterusan turut menjadi sebahagian budaya kerja dalam sektor awam`, menurut beliau. Selain menyumbang kepada pencapaian Wawasan 2020, konvensyen itu juga diyakini dapat membantu meningkatkan kecekapan, pengurusan produktiviti dan inovasi bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ini kerana, menurut beliau, pelaksanaan ICC/ QE dalam kalangan PKS membolehkan mereka menjadi lebih moden, maju dan berdaya saing. "MPC bersedia bekerjasama melalui pelbagai program kami untuk memastikan pencapaian matlamat tersebut", katanya merujuk kepada matlamat dalam Pelan Utama SME 2012-2020 yang diperkenalkan kerajaan. Pelan itu menggariskan beberapa matlamat utama termasuk meningkatkan produktiviti pekerja PKS kepada RM91,000 menjelang 2020 daripada RM47,000 pada 2010 dan meningkatkan sumbangan PKS kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada 41 peratus menjelang 2020 berbanding 32 peratus pada 2010. Sementara itu, Pengarah Kanan MPC, Ab Rahim Yusoff yang merasmikan konvensyen pada hari yang pertama berkata, 2012 adalah tahun gerakan inovasi negara di mana penekanan utama adalah untuk meningkatkan transformasi ilmu dan pengetahuan kepada keberkesanan produk dan perkhidmatan, kecekapan proses melalui penyelesaian masalah secara sistematik. "Ini perlu dilakukan bagi meningkatkan nilai tambah dalam setiap sektor bagi memaksimumkan faedah sosioekonomi kepada seluruh rakyat", katanya. Menurut Ab Rahim, tahun ini juga menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah kepada Konvensyen Antarabangsa QCC atau ICQCC yang akan diadakan bermula dari 15-17 Oktober 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. "Sebanyak 260 kumpulan dari 13 buah negara termasuk Malaysia akan membentangkan projek masing-masing di ICQCC ini. Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah ICQCC adalah pada tahun 1996, iaitu 16 tahun yang lalu. Ambillah peluang dan kesempatan ini untuk menanda aras pencapaian kumpulan dari negara luar", katanya. Sinar Harian, 23 Julai 2012 |
|