| |
KUALA LUMPUR 25 Julai - Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berhasrat untuk melihat sumbangan para pekerja tempatan mendapat pengiktirafan antarabangsa yang berprestij. Antara anugerah antarabangsa yang menjadi matlamat MPC adalah ASQ International Team Excellence Award. Anugerah yang diperkenalkan sejak tahun 1985 itu mempunyai proses saringan yang amat sengit dan hanya 32 kumpulan sahaja yang akan terpilih. Justeru, sempena tahun gerakan inovasi pada tahun ini MPC telah mempergiatkan usaha dalam mencari pasukan-pasukan tempatan yang berinovasi dan kreatif untuk diketengahkan. Antara program yang disusun sepanjang tahun adalah Persidangan Produktiviti dan Inovasi (APIC 2012) yang menggabungkan tiga program utama iaitu Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (ICC) Peringkat Kebangsaan, Konvensyen QE/5S Kebangsaan dan Persidangan Produktiviti. Malah pada tahun ini juga, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada International Convention on QC Circles (ICQCC). Kesemua program tersebut akan diadakan serentak pada 15 sehingga 17 Oktober ini di Kuala Lumpur. Dijangka sebanyak 260 kumpulan dari 13 buah negara akan membentangkan projek masing-masing di ICQCC kali ini. Diperingkat negeri pula, MPC telah mengadakan saringan bagi memilih kumpulan yang akan bertanding di NICC. Bagi peringkat Wilayah Tengah, ia telah diadakan di Shah Alam, Selangor pada 26 dan 27 Jun yang lalu di mana sebanyak 59 kumpulan ICC dan 18 organisasi peserta QE/5S telah membentangkan projek inovasi, kaizen serta pelaksanaan QE/5S masing-masing. Menurut MPC, seramai 888 orang telah menyertainya dan sejumlah RM74.3 juta atau RM83,671 setiap peserta telah direkodkan. Penyertaan dari sektor awam turut menunjukkan peningkatan iaitu 34 peratus atau 298 orang dari jumlah keseluruhan peserta sekali gus ia menggambarkan budaya inovasi dan penambahbaikan telah menjadi budaya kerja dalam sektor tersebut. Utusan Malaysia, 26 Julai 2012 |
|