Malaysia terus baiki kedudukan dalam petunjuk menjalankan perniagaan

KUALA LUMPUR: Pejabat Bank Dunia di Malaysia berhasrat untuk melihat kedudukan Malaysia dalam Laporan Menjalankan Perniagaan terus meningkat dari tahun ke tahun.

Justeru, wakil Bank Dunia ke Malaysia itu akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan berkaitan dari masa ke masa bagi memberi penjelasan mengenai kaedah yang digunakan Bank Dunia dalam menilai Laporan Menjalankan Perniagaan.

Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Faris Hadad Zervos, berkata Malaysia kini berada dalam kedudukan 20 negara teratas dalam petunjuk menjalankan perniagaan dan berharap negara ini akan terus bekerjasama serta terus berusaha untuk mencapai kedudukan lebih baik.

Katanya, kerjasama dengan agensi seperti Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) adalah penting kerana bukan hanya mencerminkan hubungan panjang Bank Dunia dengan negara ini, malah memberikan penjelasan lebih terperinci mengenai kaedah yang digunakan untuk menyediakan ranking berkenaan.

“Apa yang kami saksikan setakat ini (di Malaysia) adalah kerjasama yang hebat dengan mempamerkan minat yang tinggi terhadap topik ini. Kami amat berminat untuk meneruskan kerjasama sedemikian dalam menawarkan penyelesaian pembangunan global,” katanya semasa ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Malaysia mengekalkan kedudukannya dalam kedudukan 20 negara teratas menerusi Laporan Menjalankan Perniagaan pada tahun lalu serta muncul negara teratas dalam kalangan ekonomi sedang pesat membangun di Asia Timur.

Menggunakan kaedah perbandingan, Malaysia berada di tempat ke-18 daripada 189 ekonomi pada tahun lalu.

Mengulas lanjut, Faris berkata kumpulan kakitangan Pejabat Bank Dunia di Malaysia adalah berasingan dengan pasukan Bank Dunia yang menghasilkan Laporan Menjalankan Perniagaan kerana unit itu melihat kepada perspektif global dan tidak hanya menumpukan kepada Malaysia semata-mata.

Katanya, kakitangan Pejabat Bank Dunia di Malaysia lebih kepada membantu mengkaji beberapa bidang penambahbaikan memandangkan reputasi laporan berkenaan yang bersifat global, mantap, tidak berat sebelah dan menumpukan kepada data.
“Tugas kami (Pejabat Bank Dunia di Malaysia) di sini adalah untuk memberikan penjelasan serta tidak berkompromi dengan penilaiannya dalam apa juga cara.

“Bagaimanapun, sebarang hasil atau penilaian yang diperoleh daripada kerjasama dengan agensi kerajaan negara ini akan dipanjangkan kepada pasukan perdagangan dan daya saing Bank Dunia supaya kami boleh melihat cara untuk menyokong usaha Malaysia memperbaiki kedudukannya,” katanya.

Faris berkata, pembukaan pejabat Bank Dunia di negara ini pada tahun lalu membawa bersama sekumpulan pakar dalam sektor dan amalan tertentu yang menumpukan kepada perdagangan serta daya saing.

Katanya, perkembangan itu mewakili satu model baharu bagi Bank Dunia, iaitu pengumpulan pakar dari beberapa bahagian dunia menerusi sebuah pejabat negara untuk menawarkan pelbagai penyelesaian bersepadu kepada pelanggan.

Pejabat Kumpulan Bank Dunia di Malaysia yang dibuka tahun lalu bertempat di Sasana Kijang, sebuah pusat kecemerlangan dalam perbankan dan perkhidmatan kewangan milik Bank Negara Malaysia (BNM).

Malaysia dan Kumpulan Bank Dunia memeterai Perjanjian Penubuhan dan Perjanjian Kemudahan di Putrajaya pada 27 Januari 2015 bagi penubuhan pejabat Kumpulan Bank Dunia yang akan menyediakan kepakaran operasi dan penyelidikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Disclaimer : Malaysia Productivity Corporation ( MPC) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this web site.
Best viewed in 1024 x 768 using Google Chrome or Mozilla Firefox. This website is mobile responsive.

hit counter
Visits
Last Updated: 23 January 2017
X