Biar telus dan efisien

Petaling Jaya: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menyifatkan Bajet 2017 yang dibentangkan adalah bajet yang mampu menggerakkan peranan di semua sudut baik dari segi ekonomi mahu pun sosial.

Ketua Pengarah MPC, Datuk Mohd Razali Hussain berkata, bagaimanapun pelaksanaan bagi cadangan yang dibentangkan dalam bajet perlu dibuat secara konsisten.

Katanya, selain MPC, peranan semua pihak diperlukan untuk memastikan model perniagaan negara dapat dilaksanakan menerusi produktiviti terbaik.

“Kita tidak boleh bergantung kepada satu agensi saja untuk menjayakan pelaksanaan Bajet 2017, malah ada beberapa segmen membabitkan kerajaan dan swasta bagi mencapai apa yang dirancang untuk negara.

“Paling penting, proses penyaluran peruntukan Bajet 2017 perlu dilaksanakan dengan telus dan efisien supaya sampai kepada kumpulan sasar,” katanya pada taklimat media Laporan Bank Dunia 2017 di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman.

Mohd Razali berkata, kerajaan dapat menjimatkan lebih banyak perbelanjaan mengurus pada masa akan datang jika produktiviti sektor awam terus meningkat untuk menyokong aktiviti ekonomi domestik.

Menurutnya, sektor awam berperanan sebagai pihak pemudah cara membantu menjadikan aktiviti perniagaan yang ditunjangi sektor swasta menjadi lebih cekap.

“Sudah pasti, jika jumlah kakitangan awam dikurangkan perbelanjaan mengurus dapat dikurangkan. Namun, perlu dipastikan bahawa pelaksanaan mestilah mengikut apa yang dirancang.

“Justeru, kita perlu memastikan semua proses terbabit (dalam aktiviti perniagaan) hendaklah telus,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Disclaimer : Malaysia Productivity Corporation ( MPC) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this web site.
Best viewed in 1024 x 768 using Google Chrome or Mozilla Firefox. This website is mobile responsive.

hit counter
Visits
Last Updated: 23 January 2017
X