Kurang 50 peratus PKS aplikasi sistem bayaran gaji

UTUSAN MALAYSIA, 19 NOVEMBER 2016

KUALA LUMPUR 18 Nov. – Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) mendapati kurang daripada 50 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengaplikasikan sistem pembayaran gaji dalam pengurusan syarikat.

Ahli Pemudah dan Pengerusi Bersama Kumpulan Fokus Pembayaran Cukai (FGPT), Datuk Chua Tia Guan berkata, jumlah itu adalah rendah jika dibandingkan deng­an penyertaan PKS di negara ini sebanyak 67 peratus daripada keseluruhan perniagaan.

Katanya, kesedaran yang rendah dalam kalangan PKS itu memberi keyakinan kepada Pemudah untuk melaksanakan pelbagai program yang berkesan supaya sasaran 70 peratus PKS mengguna pakai sistem pembayaran gaji dapat dicapai dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Kita memahami ada sesete­ngah syarikat keberatan untuk menggunakan sistem ini kerana berpendapat harganya yang mahal sedangkan perisian bayaran gaji ini berharga sekitar RM1,000 hingga RM3,000 dan pelaburan ini hanya perlu dibuat sekali sahaja.

“Dengan perisian ini memudahkan mereka untuk menguruskan bayaran melibatkan agensi berkaitan seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya selepas meras­mikan hari terbuka mengenai kepentingan sistem bayaran gaji dalam perniagaan di sini hari ini.

Hari terbuka itu yang dianjurkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Pemudah FGPT melibatkan 33 peserta daripada 20 syarikat dan organisasi.

Sistem pembayaran gaji adalah perisian yang memudahkan urusan bayaran kepada kakitang­an termasuk memfailkan cukai pekerja.

Dalam Laporan Menjalankan Perniagaan 2017 Bank Dunia baru-baru ini, indikator bayaran cukai menunjukkan skor jarak kepada sempadan (DTF) merosot daripada 79.31 kepada 79.2 mata memandangkan masa yang diambil untuk menyediakan, penyata fail dan memfailkan cukai meningkat daripada 118 jam kepada 164 jam.

Sehubungan itu, Pemudah FGPT ditubuhkan bagi memudahkan sistem cukai di Malaysia dan khusus untuk mengurangkan jumlah bayaran, masa yang diambil untuk membuat bayaran dan kadar jumlah cukai ke arah mewujudkan persekitaran mesra perniagaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Disclaimer : Malaysia Productivity Corporation ( MPC) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this web site.
Best viewed in 1024 x 768 using Google Chrome or Mozilla Firefox. This website is mobile responsive.

hit counter
Visits
X