chairman1-211x300

2015 adalah penting bagi Malaysia kerana ia merupakan tahun terakhir Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10: 2011-2015). Produktiviti dan inovasi telah dikenal pasti sebagai faktor penting untuk pertumbuhan ekonomi. Cabaran ekonomi global telah menjadikan pertumbuhan produktiviti dan inovasi sebagai kunci untuk memastikan kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat. Pendekatan dalam meningkatkan produktiviti negara menyasarkan sektor awam, industri dan enterprais untuk bekerjasama dalam kolaborasi strategik dan inovatif bagi menangani isu-isu pelaksanaan terutamanya. MPC akan meneruskan peranannya dalam agenda meningkatkan potensi produktiviti seperti yang dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11: 2016-2020). Pelan Pembangunan Produktiviti Malaysia yang akan datang akan menyediakan pelaksanaan berpandu dan mempercepatkan peningkatan produktiviti di peringkat enterprais, negara, dan industri.

Melonjak Daya Saing Malaysia ke Tahap Yang Lebih Tinggi

Daya saing telah ditakrifkan sebagai matlamat institusi, dasar dan factor dalam menentukan tahap produktiviti sesebuah negara. Tahap produktiviti, seterusnya menetapkan tahap kemakmuran yang boleh dicapai oleh ekonomi. Berdasarkan laporan daya saing dunia, Malaysia pada tahun 2015 telah maju sebanyak dua kedudukan untuk menjadi ekonomi ke-18 paling berdaya saing di dunia berbanding 140 negara dalam Laporan Daya Saing Global (GCR) 2015-2016 (GCR 2014-2015: 20/144) yang diterbitkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF). Sementara itu, Laporan Daya Saing Dunia (WCY) 2015 oleh Institut Antarabangsa untuk Pembangunan Pengurusan (IMD) telah mengiktiraf Malaysia sebagai ekonomi ke-14 paling berdaya saing dalam kalangan 61 ekonomi (WCY 2014: 12/60).

Kajian daya saing di peringkat negeri telah memasuki edisi kedua dengan penerbitan Laporan Daya Saing Malaysia (MCR) 2014-2015. Kajian ini membolehkan Kerajaan Negeri mengenal pasti kekuatan dan peluang untuk penambahbaikan serta menjadi sumber rujukan pihak yang berkepentingan untuk membangunkan strategi ke arah daya saing dan kemakmuran ekonomi.

Menerajui Kajian Semula Peraturan Perniagaan

Sokongan kepada Amalan Baik Peraturan (GRP) menyokong pembaharuan tadbir urus awam Malaysia yang lebih meluas yang menggalakkan pembuatan keputusan yang lebih kukuh berasaskan bukti, lebih inklusif dan penyampaian bertumpukan kepada pengguna serta penyelarasan yang lebih berkesan dalam Kerajaan. Dalam tempoh RMK-10, MPC telah diberi mandat untuk menerajui kajian semula yang komprehensif berkaitan dengan peraturan-peraturan perniagaan dan untuk melaksanakan proses penambahbaikan dan prosedur ke arah produktiviti dan daya saing yang lebih tinggi dengan memberi tumpuan kepada Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Kajian menggunakan metodologi dan rangka kerja Mengurangkan Beban Peraturan Yang Tidak Perlu (RURB) telah menghasilkan jumlah penjimatan kos pematuhan sebanyak RM4 juta pada tahun 2015. Selain itu, MPC menerima sejumlah 54 cadangan untuk semakansemula peraturan daripada kementerian dan agensi di mana 28 cadangan telah dikenal pasti untuk melalui proses Analisa Impak Peraturan (RIA). Program Pemodenan Lesen Perniagaan merupakan satu lagi inisiatif strategik untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian awam dan kemudahan menjalankan perniagaan ke arah menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif dan berdaya saing di negara ini. Inisiatif ini dijalankan dan dipantau oleh MPC sebagai sebahagian daripada projek nasional yang mengintegrasikan pendaftaran dan pelesenan. Hasil dari projek ini telah membawa kepada penerbitan Manual Piawaian Pelesenan yang mana telah dicadangkan untuk dilaksanakan oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan dalam negara.

Pembelajaran Melalui Perkongsian

Pengetahuan mengenai produktiviti dianggap sebagai input penting ke arah mencapai misi, visi dan objektif MPC. Pada tahun 2015, enam penyelidikan pengetahuan dan analisa penandaarasan berkaitan produktiviti dalam bentuk kajian industri telah berjaya dihasilkan. Di samping itu, 10 siri Competitiveness Champion Programme telah diadakan di seluruh negara untuk menyebarkan maklumat berhubung dengan prestasi daya saing negara, inisiatif penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Kerajaan dan pembangunan serta cabaran ekonomi semasa.

Maklumat mengenai amalan terbaik diperoleh daripada lawatan penandaarasan ke organisasi dan didokumentasikan untuk rujukan industri. Pada tahun 2015, sebanyak 33 artikel telah diterbitkan sebagai amalan terbaik yang diambil daripada pelaksanaan projek Pengurusan Lean dan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (ICC). Perkongsian amalan terbaik yang sama juga telah dijalankan melalui platform lain seperti Forum CEO Kecemerlangan Perniagaan, Konvensyen Team Excellence dan Creanova Lean.

Pemantauan Produktiviti

Majlis Pemantauan Produktiviti Kebangsaan (NOPC) ditubuhkan di bawah Pelan Pembangunan PKS Kebangsaan pada 2015, dengan MPC sebagai sekretariat untuk memantau projek di bawah empat model perkongsian strategik oleh pelbagai agensi pelaksana dan untuk mengukur kesannya terhadap produktiviti menggunakan alat Productivity Gain Measurement (PGM). Secara umumnya, kesan projek-projek intervensi ini diukur dari segi pengurangan kos melalui penghapusan pembaziran, peningkatan dalam jumlah pengeluaran serta peningkatan dalam jualan dan keuntungan. PGM juga mengenal pasti peluang penambahbaikan dan syarikat-syarikat yang terbaik dalam pelaksanaan inisiatif produktiviti dan inovasi. Majlis ini juga perlu memastikan manfaat daripada projek-projek ini akan memberi impak kepada produktiviti di peringkat sektoral dan negara.

Sehingga akhir Disember 2015, sejumlah 298 projek telah berjaya dipadankan melalui Rangkaian Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN), 150 organisasi telah diaudit oleh Perkongsian SIRIM-Fraunhofer dan 30 projek telah dilaksanakan melalui Yayasan AIM-Steinbeis Malaysia. Platform keempat, PlatCOM Ventures telah menerima 37 organisasi, 23 pemindahan harta intelek yang mana telah membawa kepada pengkomersilan dua inovasi.

Penilaian dan Kecemerlangan Prestasi Organisasi

Tahap kecemerlangan prestasi organisasi diukur menggunakan beberapa alatan berasaskan prinsip seperti Rangka Kerja Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MBEF), Persekitaran Berkualiti (QE) dan Pengurusan Lean. Pada tahun 2015, MPC telah menganjurkan 12 kursus pembangunan kapasiti kecemerlangan perniagaan bagi pengamal, penilai dan perunding yang melibatkan 276 peserta dari sektor awam dan swasta. Berkait rapat dengan inisiatif pembangunan kapasiti ini, sebanyak 64 organisasi telah mengguna pakai MBEF sebagai alat penilaian untuk menilai tahap prestasi dan mengenal pasti peluang penambahbaikan ke arah kelestarian organisasi. Pada masa yang sama, 656 organisasi telah diberi pensijilan QE manakala 7 buah universiti awam telah diaudit bagi pihak Kementerian Pengajian Tinggi untuk menilai kesediaan mereka untuk diberikan status autonomi.

Pada masa yang sama, MPC terus menilai pencapaian projek-projek inovasi oleh pelbagai organisasi melalui pembentangan di Konvensyen Kecemerlangan Berpasukan Kebangsaan semasa Persidangan dan Ekspo Produktiviti & Inovasi Tahunan (APIC) 2015. Sebanyak 218 kumpulan dari 158 organisasi telah mengambil bahagian dalam konvensyen kebangsaan dan jumlah penjimatan kos sebanyak RM195 juta telah direkodkan. Lanjutan dari itu, MPC juga telah menyelaraskan pasukan-pasukan terbaik negara untuk mengambil bahagian dalam beberapa konvensyen antarabangsa pada tahun 2015. Pada International Convention on Quality Control Circles (ICQCC) di Gyeongnam, Korea, daripada 33 pasukan dari Malaysia, 13 telah dianugerahkan pingat emas, 12 perak dan 8 gangsa. Dan, semasa International Exposition on Team Excellence (IETEX) di Singapura, daripada 15 pasukan yang mewakili Malaysia, 6 pasukan telah dianugerahkan 3 bintang dan 9 pasukan dianugerahkan 2 bintang. Dalam kalangan pasukan yang menerima anugerah 3 bintang, dua pasukan telah menerima Anugerah Pasukan Terbaik platinum dan emas. Di samping itu, 3 pasukan telah diterima untuk membentangkan projek-projek mereka di ASQ International Team Excellence Award (ITEA) di Nashville, Tennessee. Dalam majlis yang sama, Encik Azman Shah Mohamed Noor dari Sime Darby Berhad  telah dianugerahkan Edwards Medal di atas kepimpinan cemerlang beliau dalam penggunaan praktikal kaedah moden kawalan kualiti.

Pembangunan Sistem dan Kapasiti

Peningkatan produktiviti enterprais dibuat melalui pembangunan sistem berasaskan rangka kerja dan program pembangunan kapasiti. Program Intervensi Inovasi Enterprais (EIIP) adalah rangka kerja pelaksanaan yang digunakan untuk memandu organisasi ke arah meningkatkan kecekapan, pembangunan pengetahuan dan kemahiran, mencipta dan pelaksanaan strategik sistem untuk produktiviti, inovasi dan daya saing yang lebih tinggi. Sejumlah 108 program EIIP telah dilaksanakan, melepasi sasaran 75 program yang ditetapkan pada awal tahun 2015. Bagi program pembangunan kapasiti, sebanyak 405 kursus telah dijalankan, merekodkan seramai 7,601 peserta dari 830 organisasi.

Prestasi kewangan

Pada tahun 2015, MPC telah mengumpulkan jumlah pendapatan sebanyak RM52,067,990 yang mana RM38,479,836 adalah dari Geran Kerajaan Persekutuan dan RM13,588,154 adalah dari pendapatan dalaman. Secara umumnya, pendapatan dalaman telah dijana daripada pelbagai aktiviti teras seperti yuran latihan dan pembangunan sistem, pensijilan, konvensyen, penyelidikan dan sewaan asrama dan dewan. Daripada jumlah geran yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan, RM3,310,171 telah digunakan untuk program-program Amalan Baik Peraturan (GRP) termasuk Mengurangkan Beban Peraturan Yang Tidak Perlu (RURB), Pemodenan Lesen Perniagaan dan Analisa Impak Peraturan (RIA). Perbelanjaan MPC pada 2015 adalah RM52,797,688, berbanding dengan RM58,169,578 pada tahun 2014. Pengurangan sebanyak 9% dalam perbelanjaan adalah disebabkan oleh pelbagai langkah penjimatan terhadap aktiviti keseluruhan bagi mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh Kerajaan.

Kolaborasi Strategik bagi Prestasi Produktiviti Yang Kukuh

MPC terlibat dalam kerjasama sektor awam-swasta dalam bentuk Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) di mana MPC merupakan sekretariat utama. Kolaborasi melalui kumpulan kerja, pasukan petugas dan kumpulan fokus terdiri daripada anggota dari pelbagai agensi dan persatuan yang ditubuhkan untuk meningkatkan daya saing Malaysia dan khususnya memastikan persekitaran perniagaan yang produktif.

PEMUDAH juga ditugaskan untuk menerajui usaha meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Laporan Doing Business Bank Dunia. Dalam Laporan Doing Business 2016, Malaysia berada di kedudukan ke-18 daripada 189 ekonomi, meletakkan Malaysia dalam kalangan 10% teratas ekonomi paling mudah menjalankan perniagaan. PEMUDAH akan terus bekerjasama dengan Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC), Bank Dunia untuk mengkaji bidang sasaran yang perlu diperbaiki bagi memastikan Malaysia adalah mesra enterprais dalam menjalankan perniagaan.

Kerjasama antarabangsa dengan rakan strategik MPC seperti International Institute for Management Development (IMD), Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), Bank Dunia dan Asian Productivity Organisation (APO) dimanfaatkan oleh warga dan rakan MPC untuk pemindahan pengetahuan dan kemahiran berkenaan alatan dan teknik peningkatan produktiviti. MPC telah dipilih untuk menjadi tuan rumah ASEAN-OECD Good Regulatory Practice (GRP) Conference pada Mac 2015 yang dengan tujuan untuk mengukuhkan integrasi ekonomi serantau.

Penghargaan

MPC amat bergantung kepada keupayaan sumber manusia dan sokongan daripada rakan-rakan yang terdiri daripada pengamal, perunding dan penilai produktiviti dalam memastikan empat objektif MPC dapat dicapai seiring dengan aspirasi negara. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli Lembaga Pengarah MPC, Pengerusi dan Ahli-ahli Panel Perundingan, pasukan petugas, pihak pengurusan dan warga MPC di atas dedikasi, komitmen dan kerja keras mereka. Saya juga ingin merakamkan penghargaan terhadap sumbangan semua rakan kerjasama MPC dalam usaha mencapai produktiviti yang lebih tinggi sepanjang tahun 2015. Bimbingan dan sokongan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri adalah tidak ternilai dan kami berharap dapat berkhidmat demi kepentingan semua pihak pada tahun-tahun akan datang.

Tan Sri Azman Hashim
Pengerusi
Perbadanan Produktiviti Malaysia

Disclaimer : Malaysia Productivity Corporation ( MPC) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this web site.
Best viewed in 1024 x 768 using Google Chrome or Mozilla Firefox. This website is mobile responsive.

hit counter
Visits
MENU
X