UCAPAN OLEH:

Y.BHG. DATO’ MOHD RAZALI HUSSAIN
KETUA PENGARAH
PERBADANAN PRODUKTIVITI MALAYSIA (MPC)

PERHIMPUNAN BULANAN MITI & AGENSI 2015

8.30 PAGI
24 NOVEMBER 2015 (SELASA),
DEWAN PRODUKTIVITI MPC
PETALING JAYA
YB DATO` SERI ONG KA CHUAN
Menteri II

YB DATO` LEE CHEE LEONG
Timbalan Menteri (Trade)

YB DATUK HAJI AHMAD HAJI MASLAN
Timbalan Menteri (Industry)

Bismillahir Rahmaanir Rahim;

Yang Berhormat Dato’ Sri Mustapa Mohamed
Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri;

Ketua – ketua Agensi MITI;

Agensi – agensi MITI dan warga MPC yang dihormati

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita berkumpul pada pagi ini untuk menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan MITI & Agensi 2015. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada MITI kerana telah memberikan peluang kepada MPC untuk menjadi tuan rumah kepada majlis perhimpunan pada kali ini.

2. Bagi pihak MPC, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Dato` Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, atas kesudian Yang Berhormat untuk bersama dengan warga MITI dan agensi ke majlis pada pagi ini. Saya juga amat berbesar hati mengalu-alukan kehadiran Ketua-ketua Agensi MITI serta wakil, ke teratak MPC yang sudah menjangkau usia 50 tahun.

In Sha Allah dalam tempoh tiga tahun lagi sekiranya perancangan Kerjasama Awam Swasta berhasil, MPC juga akan memiliki bangunan baru seperti MITI.

Para hadirin sekalian,

3. MPC menerajui usaha untuk melonjakkan produktiviti dan daya saing negara dengan kerjasama daripada pelbagai kementerian, agensi kerajaan serta persatuan industri. Di peringkat antarabangsa, MPC menjalin kerjasama yang erat dengan International Institute for Management Development (IMD), Pertubuhan Produktiviti Asia (APO), Bank Dunia, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Forum Ekonomi Dunia (WEF), American Productivity and Quality Centre (APQC) dan The Conference Board (TCB).

4. Dengan wujudnya kerjasama ini, pada tahun 2015, MPC telah dapat melaksanakan beberapa projek dengan jayanya serta memulakan beberapa projek baharu dalam usaha melonjakkan produktiviti dan memudahkan urusan perniagaan. Matlamat projek-projek ini adalah untuk mengurangkan peraturan yang tidak diperlukan dan merangsang persaingan yang sihat ke arah pencapaian Amalan Baik Peraturan (GRP), di samping menggalakkan model perniagaan baru (new business model) dan inovatif.

5. MPC terus menyokong pengusaha tempatan untuk meningkatkan produktiviti antaranya melalui Program Kecemerlangan Perniagaan (BE) untuk membangunkan lebih banyak organisasi cemerlang, serta Program Intervensi Inovasi Enterpris (EIIP) yang mempromosikan aplikasi Pengurusan LEAN, Kecemerlangan Pasukan, Penjimatan Kos Bahan dan Kecemerlangan Perkhidmatan. Pada tahun 2015, MPC telah menjalinkan program dengan lebih daripada 6 ribu organisasi meliputi lebih daripada 50 ribu peserta yang telah menyertai program-program peningkatan produktiviti dan daya saing anjuran MPC.

Para hadirin sekalian,

6. Selaras dengan peranan semasa MPC yang terlibat secara langsung dengan kajian semula peraturan dan Amalan Baik Peraturan, MPC telah menambah secara rasmi satu objektif MPC yang baharu. Objektif tersebut adalah ‘menjalankan kajian semula peraturan dan promosi Amalan Baik Peraturan untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kompetitif’. Objektif baharu ini telah diangkat sebagai objektif ketiga daripada empat objektif MPC.

Para hadirin sekalian,

7. MPC akan menyambut ulang tahun yang ke 50 pada tahun hadapan. Sepanjang 50 tahun penubuhannya, MPC telah melalui transformasi daripada organisasi pengendali latihan dalam bidang pengurusan serta perundingan dan khidmat nasihat, kepada pemacu perubahan dalam meningkatkan potensi produktiviti. Bersempena dengan sambutan 50 tahun, MPC telah merangka pelbagai aktiviti yang akan dijalankan di sepanjang tahun 2016 dengan tujuan utama untuk menerapkan budaya produktiviti di kalangan rakyat Malaysia, termasuk sektor awam dan swasta. Antara acara utama yang telah dirancang adalah Persidangan Produktiviti dan Daya Saing yang merangkumi sesi perkongsian pengalaman dan amalan terbaik dari pakar-pakar produktiviti tempatan dan antarabangsa; serta siri jelajah produktiviti untuk mengubah set minda dan menerapkan budaya produktiviti ke segenap lapisan masyarakat.

8. Menjelang tempoh Rancangan Malaysia Ke-Sebelas, peranan MPC adalah semakin mencabar apabila produktiviti diangkat sebagai salah satu teras utama (game changer) di dalam rancangan tersebut. MPC mewakili MITI telah dikenalpasti sebagai peneraju utama kepada inisiatif-inisiatif peningkatan produktiviti di peringkat Negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Antara inisiatif tersebut adalah Pelan Pembangunan Produktiviti, Kempen Produktiviti, Portal Produktiviti atau Productivity Way Up, mengiktiraf Pusat Produktiviti dan Productivity Champion.

Para hadirin sekalian,

9. Sebelum mengakhiri ucapan, saya berharap agar MPC akan terus mendapat kerjasama dari semua pihak, terutama MITI dan agensi dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing di peringkat kerajaan, industri, enterpris dan rakyat. Bagi pihak MPC, kami seluruh warga MPC menyatakan komitmen kami untuk terus berusaha bersungguh-sungguh dalam merialisasikan hasrat Kerajaan dalam meningkatkan potensi produktiviti dan daya saing negara dan membolehkan ekonomi negara menjadi lebih dinamik serta berdaya tahan terhadap kuasa dan pengaruh global.

Sekian, terima kasih.
Last updated on : 2015-11-25 22:37:28

Disclaimer : Malaysia Productivity Corporation ( MPC) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this web site.
Best viewed in 1024 x 768 using Google Chrome or Mozilla Firefox. This website is mobile responsive.

hit counter
Visits
MENU