UCAPAN OLEH:

YB DATO’ SRI MUSTAPA MOHAMED
MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA & INDUSTRI (MITI)
PERHIMPUNAN BULANAN MITI & AGENSI 2015

24 NOVEMBER 2015 (ISNIN), 8.30 PAGI
DEWAN PRODUKTIVITI MPC, PETALING JAYA
Bismillahir Rahmaanir Rahiim;
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Ahli – ahli Lembaga Pengarah dan Panel Perunding MPC

Y. Berbahagia, Dato’ Mohd Razali Hussain
Ketua Pengarah MPC

Ketua – ketua Agensi MITI

Agensi – agensi MITI dan warga MPC yang dihormati

Tuan-tuan dan puan-puan,

1. Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 baru-baru ini. Sepertimana anda sedia maklum, ASEAN telah mencatatkan satu sejarah sejak ditubuhkan 48 tahun yang lalu menerusi penubuhan rasmi Komuniti ASEAN.

2. Selain daripada itu, kesemua pemimpin dari 10 negara ASEAN telah menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai ASEAN 2025: Bersama Melangkah Ke Hadapan. Ia merupakan satu set dokumen mengenai laluan serta pelan tindakan bagi pembinaan Komuniti ASEAN untuk 10 tahun akan datang.

3. Sepanjang sidang kemuncak tersebut berlangsung, ASEAN telah mengadakan pertemuan dengan beberapa rakan dialog rantau ini termasuklah Amerika Syarikat, Jepun, China, Korea Selatan dan Australia. Malah, perjanjian perdagangan bebas (FTA) di antara ASEAN dan China yang telah berlangsung selama 10 tahun juga telah dinaiktaraf.

4. Penubuhan Komuniti ASEAN merupakan satu perkara yang harus diraikan dan kita sewajarnya berbangga kerana sejarah ini dimeterai di bawah kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN. Apa yang lebih penting, rakyat dan syarikat tempatan haruslah berusaha memanfaatkan peluang yang ada menerusi inisiatif ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

5. Belanjawan 2016 telah dibentangkan di Parlimen pada 23 Oktober 2015 oleh YAB Perdana Menteri telah mengetengahkan beberapa inisiatif untuk memastikan Malaysia kekal menarik kepada pelabur. Sebanyak RM 1.914 bilion telah diperuntukkan kepada MITI untuk melaksanakan program di bawah Belanjawan ini. Daripada jumlah ini,
RM 539.200.000 untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.375 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Di antaranya adalah:

Insentif untuk Badan Bebas Pematuhan Penilaian (Independent Conformity Assessment Bodies – ICAB).
Pelaburan Koridor – Projek Pembangunan Rubber City, Kedah (RM 320 juta).
Pelbagai dana di bawah MIDA (RM 730 juta) bertumpu kepada industri Kimia, Elektronik dan Elektrikal, Mesin dan Peralatan, Aeroangkasa, Peranti Perubatan & Perkhidmatan.
Elaun Pelaburan Semula Khas dalam sektor pengilangan & pertanian terpilih bagi syarikat sedia ada.
Pembangunan jangka panjang PKS dengan peruntukan sebanyak RM 10.5 bilion termasuk RM107 juta untuk melaksanakan Pelan Induk PKS.
RM235 juta diperuntukkan kepada MATRADE di bawah pelbagai program seperti Program Promosi 1Malaysia, Dana Eksport Perkhidmatan and Dana Promosi Eksport.
6. Dalam usaha ini MITI dan agensi – agensi di bawahnya perlu terus memainkan peranannya untuk mencapai matlamat bajet ini dan juga merealisasikan objektif RMK11.

Tuan-tuan dan puan-puan,

7. Beberapa inisiatif telah dijalankan oleh MPC sepanjang suku akhir tahun 2015 termasuklah Jaringan Penyelidikan Awam Swasta (PPRN) melalui penubuhan National Oversight Productivity Council (NOPC). Satu metodologi pengukuran produktiviti iaitu Productivity Gain Measurement telah dibangunkan oleh MPC berasaskan 5 indikator iaitu Labour Productivity, Capital Productivity, Process Efficiency, Profitability, Labour Cost Competitiveness dan 3 lagi pengukuran tambahan iaitu Reject Rate, On-time delivery dan Customer Complaint. Beberapa agensi pelaksana seperti Steinbeis Malaysia Foundation telah dilibatkan dalam proses pengukuran ini dalam usaha meningkatkan pengkomersialan hasil inovasi mereka.

8. Selain dari itu inisiatif di bawah Gerakan Produktitiviti Negara (National Productivity Movement) ialah penubuhan Pusat Produktiviti (Productivity Centre). Pusat Produktiviti ialah pusat pembangunan kompetensi yang akan diiktiraf untuk memberi bimbingan serta galakan peningkatan produktiviti khusus untuk industri. Ia menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan dan kaedah penambahbaikan yang disesuaikan dengan keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh industri untuk meningkatkan produktiviti dengan lebih berkesan. Pusat-pusat ini akan melatih dan mengiktiraf Productivity Champion atau agen perubahan dalam industri untuk melaksanakan inisiatif produktiviti dan inovasi menggunakan alat – alat produktiviti (productivity tools) ke arah kecemerlangan perniagaan.

9. Singapura dijadikan sebagai tandaaras dalam proses penubuhan dan pengiktirafan pusat ini di mana mereka mempunyai 16 Pusat Produktiviti khusus sebagai pemangkin produktiviti dalam pelbagai sektor industri di antaranya hospitaliti , makanan , runcit dan pembuatan, pembinaan, elektronik , hotel, komunikasi maklumat dan media.

10. Dalam memantapkan usaha ini, MPC telah menubuhkan pasukan Productivity Champion yang terdiri dari pakar – pakar produktiviti dari pelbagai bidang. Sehingga kini bilangan Productivity Champion dilantik adalah seramai 223 orang (sasaran 400 orang Productivity Champion):

• Business Excellence Practitioner terlatih = 84 orang
• Business Excellence Assesor terlatih = 55 orang
• Business Excellence Consultant = 29 orang
• Team Excellence Specialist terlatih = 55 orang

11. Productivity Champion adalah mereka yang dikenalpasti di dalam persatuan industri dan merupakan ‘market and innovation leader’ di dalam industri mereka. Sebagai panduan kepada industri, MPC telah mengambil inisiatif menerbitkan Direktori ‘Productivity Champion’ 2015. Penerbitan ini akan diterbitkan secara tahunan dan boleh dimuat turun menggunakan aplikasi M-Productivity. Aplikasi ini boleh diakses menggunakan iPhone App Store dan Android App on Google Play. Seramai 12 individu dari pelbagai organisasi bakal menerima pengiktirafan selaku Productivity Champion sebentar lagi.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

12. Baru – baru ini 1st My-Plic Malaysian Productivity-Linked Wages System telah dilancarkan pada 22 Oktober 2015, dengan usahasama Kementerian Sumber Manusia, MPC dan PSMB iaitu satu lagi strategi pelaksanaan bagi meningkatkan produktiviti dan mempercepat pembangunan industri dalam tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11). PLWS ialah sistem gaji atau insentif yang meningkatkan pendapatan pekerja sambil menaikkan produktiviti dan keuntungan majikan. Sistem ini menggalakkan penghasilan dan perkongsian kekayaan dalam kalangan majikan dan pekerja selain menyumbang secara signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Bilangan majikan yang mengguna pakai PLWS telah meningkat kepada 78,545
daripada 59,6942 sebelum ini, mengembangkan produktiviti sebanyak 15 peratus. Ini bersamaan sumbangan kepada KDNK sebanyak RM115 juta setahun.

13. Menurut Laporan Global Competitiveness Report 2015-2016 yang diterbitkan oleh World Economic Forum (WEF) pada 30 September 2015 yang lalu mencatatkan peningkatan dua anak tangga bagi Malaysia di kedudukan ke-18 di kalangan 140 ekonomi. Kedudukan ini merupakan pencapaian terbaik Malaysia sejak sepuluh tahun kebelakangan dan Malaysia kekal berada di kalangan 20 ekonomi paling berdaya saing di dunia. Manakala, laporan Doing Business 2016 oleh Bank Dunia, Malaysia berada pada kedudukan ke-18 daripada 189 ekonomi, bersama-sama 10 peratus negara teratas paling mudah menjalankan perniagaan.

14. Selaras dengan pencapaian ini, MPC akan meneruskan usaha untuk menerajui kajian peraturan perniagaan secara menyeluruh yang melibatkan pengendalian perniagaan dengan tujuan memodenkan peraturan perniagaan dan mengurangkan beban pengawalseliaan yang tidak perlu. Dalam menjayakan usaha ini, MPC telah menerima peruntukkan RM 3 juta untuk Good Regulatory Practices (GRP) dan Reducing Unnecessary Regulatory Burdens (RURB). Antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah mempercepatkan sektoral Regulatory Reforms dan memperluaskan The National Policy on the Development and Implementation of Regulations (NPDIR) di dalam negeri dan kerajaan tempatan.

15. Sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BKK) 2015 peringkat MITI dan agensi, sebanyak 7 pertandingan telah dipertandingkan dari 16 Oktober hingga 30 Oktober 2015 iaitu;

i. Pertandingan Koir (16 Okt – MITI)
ii. Pertandingan Penyediaan dan Persembahan Slaid (20 Okt – MIDA)
iii. Pertandingan Terjemahan (22 Okt – MIDF)
iv. Pertandingan Deklamasi Sajak (27 Okt – SME Corp.)
v. Pertandingan Mengeja Tepat (28 Okt – MATRADE)
vi. Pertandingan Kuiz Simpulan Bahasa (29 Okt – HDC & MAI)
vii. Pertandingan Pengacaraan Majlis (30 Okt – MPC)
16. Tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada semua warga MITI dan agensi di atas sokongan padu menyertai pertandingan-pertandingan ini dalam usaha untuk memartabatkan lagi bahasa kebangsaan dalam kalangan warga MITI dan agensi.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

17. Sempena majlis perhimpunan MITI & Agensi di MPC pada kali ini, satu Video on Delivering Service Excellence bakal dilancarkan dan dipertontonkan. Ia bertujuan untuk:
• Menggalakkan budaya kecemerlangan perkhidmatan melalui Inisiatif Pelanggan Berpusat (Customer-Centric Initiative) di kalangan organisasi tempatan di Malaysia.
• Menggalakkan organisasi tempatan untuk memainkan peranan utama dalam meningkatkan taraf perkhidmatan mereka untuk mengubah kualiti perkhidmatan di Malaysia.

18. Diharapkan agar semua penjawat awam dapat terus berusaha untuk memantapkan lagi kualiti perkhidmatan bagi manfaat seluruh rakyat Malaysia.

Sekian, terima kasih.
Last updated on : 2015-11-25 22:02:51

Disclaimer : Malaysia Productivity Corporation ( MPC) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this web site.
Best viewed in 1024 x 768 using Google Chrome or Mozilla Firefox. This website is mobile responsive.

hit counter
Visits
MENU
error: Content is protected !!