skip to Main Content

InvestKL sasar tarik pelaburan 10 MNC

KUALA LUMPUR: InvestKL menyasar menarik sehingga 13 syarikat multinasional (MNC) besar melabur di Kuala Lumpur pada tahun ini berbanding 10 syarikat tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Amanshah, berkata Kuala Lumpur terus membuktikan keupayaan negara menarik pelaburan asing besar ke negara ini dibuktikan jumlah pelaburan yang diluluskan sehingga Disember lalu sudah mencecah RM6 bilion.

Katanya, dengan jumlah MNC yang mencecah 50 sudah melabur di Kuala Lumpur sejak inisiatif Greater KL diperkenalkan pada 2010, beliau yakin berada dalam laluan kukuh untuk mencapai sasaran yang ditetapkan menjelang 2020.

“Kebanyakan pelaburan baharu bagi tahun ini adalah dalam kalangan pelabur besar dari negara maju termasuk Amerika Syarikat khususnya dalam segmen perkhidmatan.

“Mandat yang diberikan kepada kami adalah untuk menjadikan Greater Kuala Lumpur pilihan syarikat berstatus Fortune 500 atau Forbes Global 2000 sebagai hab operasi serantau.

“Bahkan pelabur juga digerakkan dengan usaha serius kerajaan dalam rundingan TPPA yang mana ia akan menyediakan akses yang lengkap ke peringkat serantau,” katanya kepada media selepas sidang media bersama dengan DBKL dan PEMUDAH di sini, sebentar tadi.

Sehingga 2015, InvestKL berjaya mencapai sasaran mewujudkan 7,000 jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz, berkata pihaknya akan memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM4 bilion untuk keseluruhan projek yang akan dilaksanakan di wilayah itu tahun ini.

Katanya, ia meliputi RM25 juta bagi Fasa 2 projek River of Life; RM100 juta bagi mencantikkan dan pemilikan tanah di Precinct 7; RM8 juta penyenggaraan perangkap pencemaran dan sampah; RM15 juta bagi pembersihan dan penyenggaraan sungai dan RM20 juta untuk fasa dua mencantikkan dan mengambilalih tanah tebing untuk tujuan itu.

“Kami mengkaji mewujudkan laluan basikal di bawah laluan MRT supaya dapat mewujudkan saling hubungan antara laluan pejalan kaki, kemudahan awam dan pengangkutan awam di Kuala Lumpur.

“Sasaran kami adalah untuk mewujudkan dan meningkatkan akses yang lebih baik kepada orang awam menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam,” katanya

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
X