skip to Main Content

InvestKL tarik 50 MNC melabur RM6 bilion

KUALA LUMPUR 27 Jan. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi syarikat pelaburan InvestKL berjaya menarik sebanyak 50 syarikat multinasional (MNC) dengan nilai pelaburan RM6 bilion untuk menjalankan perniagaan di ibu negara sepanjang tahun lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, pelaksanaan dasar itu mampu menyediakan lebih 7,000 peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

“Kami mahu menarik lebih ramai pelabur luar dan membina bandar raya yang lebih selamat untuk didiami oleh penduduk dan pelabur.

“Bagaimanapun, perkhidmatan yang diperkenalkan juga adalah untuk meningkatkan kemudahan perniagaan termasuk pusat sehenti untuk mengurangkan prosedur dan tempoh masa bagi projek berskala kecil,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Bersama Pemudah, Datuk Seri Saw Choo Boon dan Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Zainal Amanshah.

Mhd. Amin Nordin berkata, DBKL juga akan meningkatkan tahap `kebolehunian’ di bandar termasuk memperkukuhkan keselamatan awam dan meneruskan projek-projek utama di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

“Antara projek utama untuk meningkatkan keselamatan awam termasuk memasang lebih 1,000 kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan panas jenayah, menerangi jalan-jalan belakang dan menjalankan projek perintis mengharamkan motosikal selepas pukul 8 malam.

“Selain itu, kita juga akan membina laluan pejalan kaki berpagar bagi menjamin keselamatan pengguna daripada kes-kes jenayah seperti ragut,” katanya.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
X