skip to Main Content

Kerjasama DBKL, Permudah tangani kesesakan trafik

KUALA LUMPUR 28 Jan. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif menjalin kerjasama dengan Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah) dalam menangani masalah kesesakan trafik di ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, kerjasama itu bagi meneliti punca kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak di hampir semua kawasan yang dikenal pasti serta mencari langkah penyelesaian terbaik untuk menangani isu tersebut.

“DBKL akan meletakkan dua pegawai di jalan-jalan yang mengalami masalah kesesakan lalu lintas dan mereka akan beri informasi kepada sebuah pasukan khas.

“Pasukan ini akan bertindak untuk mencari idea, penyelesaian atau kaedah baharu yang kita boleh lakukan dalam mengurangkan kesesakan trafik di jalan-jalan itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Yang turut hadir Pengerusi Bersama Pemudah, Datuk Seri Saw Choo Boon dan Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Zainal Amanshah.

Menurut Mhd. Amin Nordin, antara kawasan yang dikenal pasti itu termasuk Jalan Duta, Jalan Kepong, Jalan Kuching dan Jalan Tun Razak.

Ujarnya, DBKL juga akan meletakkan kereta tunda di jalan-jalan utama untuk mengalihkan kenderaan yang diletakkan di kawasan larangan yang merupakan antara faktor berlakunya kesesakan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya masih dalam proses perundingan dengan beberapa pihak untuk meneruskan projek penguraian trafik di Jalan Tun Razak yang mendapat peruntukan RM900 juta dalam Bajet 2016 yang diumumkan tahun lepas.

“DBKL telah sediakan peruntukan daripada kerajaan bagaimanapun kami masih berunding dengan beberapa pihak antaranya 1Malaysia Deveopment Berhad (1MDB) dan Syarikat Konsesi Lebuhraya Duta Ulu Klang Expressway (DUKE) kerana projek itu perlu disambungkan kepada DUKE dan difahamkan 1MDB juga ada rancangan tersendiri,” katanya lagi.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
X