skip to Main Content

Pemain industri automatif perlu agresif

KUALA LUMPUR 21 Julai – Pemain industri automatif perlu lebih agresif dan proaktif jika mahu kekal kompetitif serta bertahan dalam pasaran.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini termasuk meneroka peluang pasaran baharu tanpa terlalu bergantung kepada keperluan di peringkat domestik sahaja.

Katanya. pasaran eksport perlu menjadi sebahagian daripada perancangan syarikat automatif tempatan.

“Saya percaya Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) boleh memenuhi cabaran ini memandangkan syarikat telah mengeksport hampir 5.000 unit setiap tahun untuk pasaran Sri Lanka, Indonesia, Fiji, Brunei dan Mauritius.

“Malaysia sepatutnya menjadi peneraju bagi sektor automatif di peringkat rantau Asia Tenggara dan kerajaan akan terus bekerjasama erat dengan semua pihak berkepentingan bagi menggalakkan perkembangan industri automatif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran Perodua Bezza di sini malam ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan: Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh dan Presiden Daihatsu Motor Co. Ltd., Masanori Mitsui.

Menurut Mustapa, syarikat Malaysia juga akan meraih manfaat daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) apabila ia dikuatkuasakan.

“Melalui TPPA, syarikat Malaysia berpeluang mendapat akses kepada pasaran di Amerika Syarikat (AS), Kanada, Mexico dan Peru apabila duti import dihapuskan.

“Dalam masa sama, TPPA juga akan mengurangkan kos import terhadap bahan mentah daripada pengeluar tempatan sekali gus menjadikan produk buatan Malaysia lebih kompetitif bukan sahaja di rantau ini tetapi di peringkat global,” katanya. – UTUSAN ONLINE

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
X