Pertandingan Menulis Esei Produktiviti

 
Sesuatu yang menarik untuk dimenangi: Pertandingan Menulis Esei, Lihat maklumat lanjut


International Exposition on Team Excellence (IETEX) 2013

Read more


Konvensyen Persekitaran Berkualiti 2013

Read more


Konvensyen Wilayah

Read more on :
ICC Convention
QE Convention

 
   
  Perutusan Pengerusi
   
 

Sejajar dengan kehendak semasa supaya negara menjadi lebih inovatif dan kreatif, MPC telah disusun semula untuk memenuhi permintaan yang mencabar seperti yang digariskan dalam Model Ekonomi Baru (NEM) dan untuk mempercepatkan transformasi negara dalam bidang produktiviti dan inovasi serta menyokong aspirasi negara untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi.

Hala tuju baru MPC disusun menerusi lima model jabatan yang baru ditubuhkan dengan memberi pengkhususan kepada pemacu-pemacu pertumbuhan produktiviti yang lebih tinggi. Jabatan-jabatan tersebut adalah  Semakan Peraturan, Inovasi Enterprais, Pengurusan Pengetahuan, Kecemerlangan Perniagaan dan Daya Saing Global.

Dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh 2011-2015, MPC diamanahkan untuk mengkaji semula peraturan-peraturan perniagaan untuk tujuan meningkatkan daya saing negara. Dengan hala tuju baru ini, MPC telah menyusun semula aktiviti-aktiviti dan melaksanakan langkah-langkah yang sewajarnya untuk memastikan bahawa ia mempunyai keupayaan dan sumber yang perlu bagi mengkaji semula peraturan-peraturan perniagaan sedia ada untuk tujuan menghapuskan peraturan yang tidak perlu dan mengurangkan kos pematuhan.

Selain daripada Semakan Peraturan, MPC juga ditugaskan khusus untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti penyelidikan peningkatan produktiviti serta khidmat nasihat dan intervensi untuk menggalakkan inovasi enterprais. Dengan penubuhan Jabatan Inovasi Enterprais, MPC mampu membantu industri untuk meningkatkan keupayaan inovasi dan kecekapan. Kedua-dua jabatan  akan disokong oleh Pengurusan Pengetahuan, Kecemerlangan Perniagaan dan Daya Saing Global. Pengurusan Pengetahuan mewujudkan asas pengetahuan untuk terus meningkatkan produktiviti manakala Kecemerlangan Perniagaan memperkembangkan amalan terbaik untuk dicontohi oleh syarikat-syarikat dan menjadikan mereka lebih berdaya saing. Manakala, Daya Saing Global, menyediakan tanda aras dan amalan terbaik antarabangsa bagi negara dalam melakar pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi.

MPC akan menyokong aspirasi negara untuk mencapai pertumbuhan purata produktiviti sebanyak 4.6 peratus setahun sehingga tahun 2020. Berdasarkan sasaran ini, MPC akan menggariskan inisiatif strategik dan memberi keutamaan sejajar dengan penekanan ke atas Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA) dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Pengetahuan yang disokong oleh usaha-usaha penyelidikan adalah merupakan teras pembangunan kapasiti dan membantu sektor awam dan swasta untuk membuat keputusan. Inisiatif penyelidikan MPC dibimbing oleh Panel Perundingan, yang terdiri daripada pakar-pakar dari pelbagai sektor ekonomi yang memberikan input, kepakaran dan pengalaman bagi memenuhi keperluan industri. Laporan Produktiviti kelapan belas, menyediakan analisa komprehensif prestasi produktiviti pada peringkat industri, sektoral, nasional dan antarabangsa. Sebanyak 78 projek penyelidikan telah disiapkan pada tahun 2010. Penyelidikan ini merangkumi bidang inovasi dan pengurusan pengetahuan, daya saing di dalam meningkatkan Kecekapan Negara, Produktiviti Faktor Keseluruhan (TFP), Inovasi Perkhidmatan, Pembangunan Modal Insan dan Sistem Upah Dikaitkan Dengan Produktiviti (PLWS). Bagi tahun itu juga, projek-projek penyelidikan telah menghasilkan 59 penerbitan berkaitan produktiviti, daya saing dan inovasi.

Produktiviti dan Inovasi adalah merupakan pemacu ke arah pertumbuhan produktiviti yang lebih tinggi. Untuk mempercepatkan pertumbuhan ini, adalah penting bagi industri memperkenalkan inisiatif yang berimpak tinggi dan inovatif. MPC telah memperkenalkan Enterprise Innovation Intervention Programme (EIIP) yang merupakan sistem untuk mengenal pasti dan memperbaiki proses di sepanjang rantaian nilai serta memantau kejayaan syarikat. Pada tahun ini, MPC telah melaksanakan 872 program Peningkatan Produktiviti dan Inovasi dan 81 projek Pembangunan Sistem yang telah melibatkan seramai 21,918 peserta. Pembudayaan inovasi dan kreativiti memerlukan industri melibatkan diri, mencuba dan mengubah setiap proses yang terlibat. Dalam hal ini, sinergi pasukan bersilang fungsi seperti Kumpulan Inovatif dan Kreatif (ICC) telah menghasilkan banyak penemuan dalam inovasi produk dan perkhidmatan dan memperbaiki kecekapan pekerjaan serta meningkatkan pewujudan nilai. Pada tahun ini, 168 kumpulan daripada 91 organisasi telah menyertai konvensyen ICC di peringkat kebangsaan dan telah berjaya menjimatkan kos sebanyak RM123 juta.

MPC menggalakkan syarikat-syarikat Malaysia terutamanya syarikat-syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS), untuk mencapai tahap global melalui peningkatan produktiviti dan inovasi. Dari segi organisasi yang mengambil bahagian dalam program MPC, IKS menyumbang bilangan terbesar sebanyak 1841 organisasi dari 2742 penyertaan. Untuk memastikan jangkauan lebih luas, MPC terus membangunkan pendekatan baru dan program-program untuk IKS.

Di peringkat antarabangsa, MPC telah menjalankan program-program peningkatan produktiviti di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), Program Latihan Negara Ketiga (TCTP) dengan kerjasama Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan Pertubuhan Produktiviti Asia (APO). Program-program ini  memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan di dalam mendapatkan penanda aras antarabangsa dan amalan terbaik untuk mengekalkan daya saing.

Transformasi enterprais ke arah global  memerlukan Rangka Kerja Kecemerlangan Perniagaan bagi membolehkan enterprais-enterprais tempatan menanda aras prestasi masing-masing. Pelbagai program peningkatan kecekapan perniagaan telah dijalankan oleh MPC untuk membimbing enterprais yang terlibat. Ini termasuk Amalan Penandaarasan dan Amalan-Amalan Terbaik dan penilaian melalui program-program Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kualiti, Anugerah Produktiviti dan Persijilan dan Anugerah Persekitaran Berkualiti (QE).

Program-program penandaarasan dan amalan-amalan terbaik menyediakan aplikasi yang diperlukan oleh kedua-dua sektor awam dan swasta untuk memastikan penambahbaikan yang berterusan. Sebanyak 357 organisasi IKS dan 72 organisasi sektor awam mengambil bahagian dalam  program-program Peningkatan Proses Perniagaan. MPC juga menyediakan satu mekanisma untuk berkongsi amalan inovasi yang cemerlang melalui penubuhan Komuniti Inovasi (CoI).

Di dalam Program Persekitaran Berkualiti (QE), peningkatan sebanyak 34% daripada 431 syarikat pada tahun 2009 kepada 577 syarikat pada tahun 2010 telah dicatatkan. Inisiatif ini merupakan  asas bagi peningkatan yang berterusan dalam operasi dan sistem penyampaian perkhidmatan serta memupuk budaya produktiviti dan inovasi dalam organisasi.

Dalam memperkukuhkan usaha Malaysia untuk meningkatkan daya saing negara, MPC adalah rakan institut kepada dua agensi penarafan utama, Institute for Management Development (IMD) yang menerbitkan World Competitiveness Yearbook (WCY) dan World Economic Forum (WEF) yang menerbitkan Global Competitiveness Report (GCR). MPC juga bekerjasama dengan Australian Government Productivity Commission mengenai amalan terbaik antarabangsa di dalam bidang semakan peraturan.

MPC telah diberi mandat untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi negara; membawa Malaysia menjadi sebuah ekonomi yang dipacu oleh inovasi di mana produktiviti diberi penekanan. Sektor swasta perlu diberi suntikan semula untuk menjana ekonomi domestik yang lebih berdaya saing manakala sektor awam perlu diperkukuhkan dalam menetapkan dan melaksanakan dasar-dasar yang bertujuan untuk menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif. MPC telah memulakan aktiviti Semakan Peraturan dan Inovasi Enterprais bagi memudahkan dan mewujudkan sebuah ekosistem perniagaan yang dinamik.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di atas sokongan berterusan mereka ke arah aktiviti-aktiviti MPC. Penghargaan ini juga dipanjangkan kepada Ahli-ahli Lembaga Pengarah, Ahli-ahli Panel Perundingan, Persatuan-Persatuan Industri serta wakil-wakil mereka atas sumbangan dan pandangan-pandangan yang tidak ternilai. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua warga MPC di atas  ketabahan, idea-idea inovatif dan kreatif yang telah membantu untuk mewujudkan perkhidmatan berimpak tinggi, dan komitmen mereka dalam meletakkan MPC sebagai institusi produktiviti dan inovasi yang terulung di Malaysia.


Tan Sri Azman Hashim
Pengerusi
Perbadanan Produktiviti Malaysia

 
  Last updated on : 2013-02-18 15:16:35  
 
 
 

 

Hakcipta Terpelihara :
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
, Lorong Produktiviti, Off Jalan Sultan, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan. Malaysia
Tel : 603 - 7955 7266 | Faks : 603 - 7957 8068 | Emel : marketing@mpc.gov.my
PENGUNJUNG : hithithithithithithit
Penafian: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)   tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada laman web ini. Sila ambil perhatian bahawa laman yang akan dipaparkan nanti selepas alih bahasa telah dibuat pengalihbahasaan secara automatik oleh komputer. Kebarangkalian untuk kandungan itu berbeza daripada maksud sebenar tidak dapat dielakkan. Kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kerosakan atau salah maklumat yang mungkin terjadi dari kandungan yang telah dialih bahasa tersebut. Kandungan rasmi hanya pada laman yang asal yakni di dalam Bahasa Inggeris dan Melayu. Paparan terbaik dengan menggunakan pelayar Mozilla Firefox 3.0 dan ke atas dengan resolusi 1024 x 768.