29 Mac 2024, Melaka – Ekosistem perniagaan yang kondusif serta urusan perniagaan yang efisien adalah faktor penting yang memacu peningkatan prestasi produktiviti secara berterusan. Kerajaan Negeri Melaka bersama MPC sedang mempergiatkan usaha meningkatkan kecekapan urusan perniagaan melalui Melaka Industrial Booster (MIB) bagi memastikan pertumbuhan produktiviti yang mampan dan pengembangan ekonomi yang kukuh.


YBhg. Datuk Ginie Lim, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad melalui ucapan beliau pada Bengkel Peningkatan Produktiviti Melalui Melaka Industrial Booster, percaya bahawa kerjasama yang erat dan libat urus berterusan dari semua pihak yang berkaitan adalah kunci utama dalam memastikan kecekapan proses kelulusan dapat dipertingkatkan seterusnya menjadikan Negeri Melaka sebagai destinasi pelaburan berimpak tinggi.


Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Selatan, Mohd Azwan Mohd Salleh, berkata ‘’Pemahaman setara di kalangan agensi teknikal dan pihak konsultan yang terlibat dalam urusan permohonan dan kelulusan permit pembinaan adalah amat penting. Ianya menyumbang kepada peningkatan kualiti penyediaan dokumen dan seterusnya mempercepatkan proses kelulusan bagi projek pembinaan. Ini akan menjadikan ekosistem perniagaan di Melaka lebih kondusif”.

 

Melalui bengkel ini, pihak yang terlibat antaranya Principal Submitting Person (PSP), Agensi Teknikal Luar dan Agensi teknikal dalaman daripada Pihak Berkuasa Tempatan ini telah dapat mengenalpasti isu dan cabaran yang dihadapi, perkongsian amalan terbaik seterusnya membincangkan cadangan penambahbaikan bagi meningkatkan kelancaran proses permohonan dan kelulusan permit pembinaan.

 

Kesepaduan yang erat antara pihak Kerajaan dan Swasta akan terus menyumbang kepada kemajuan dan memastikan perkembangan pelaburan negeri dipertingkatkan bagi memperkukuhkan landskap pembangunan yang lestari, merangsang peningkatan produktiviti dan daya saing bagi Negeri Melaka.

 

Tamat.


Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: