Kolaborasi untuk Produktiviti Bantu Memperkemas Proses Penubuhan Klinik Perubatan di Malaysia

21 Mac 2024, Petaling Jaya - Buku Panduan Pembinaan dan Pengoperasian Klinik Swasta di Malaysia yang telah dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia baru-baru ini dijangka akan meningkatkan kecekapan urusan permit pembinaan sebanyak 50 peratus. Pembangunan buku panduan ini membolehkan pengusaha swasta untuk mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan dengan lebih proaktif dengan mengemukakan permohonan yang lebih berkualiti kepada pengawal selia yang terlibat.

 

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Zahid Ismail berkata, “Dengan panduan yang jelas, pihak swasta akan lebih bermotivasi untuk membangunkan lebih banyak klinik-klinik swasta di Malaysia. Kesannya, platform bagi rawatan dan perkhidmatan kesihatan dapat diperluas ke arah kualiti hidup yang lebih baik. Akses yang lebih luas ini mampu meningkatkan prestasi Malaysia dalam petunjuk jumlah perbelanjaan kesihatan, seperti yang diukur dalam Laporan Daya Saing Dunia (WCY), dan seterusnya, menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelaburan utama global”.

 

Laporan WCY yang diterbitkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) merupakan penanda aras global untuk daya saing global negara, dan Malaysia kini berada di kedudukan ke-60 daripada 64 negara pada tahun 2023 dalam jumlah penunjuk perbelanjaan kesihatan. Inisiatif penambahbaikan proses pembinaan klinik melalui penerbitan buku panduan ini dijangka menyumbang secara positif kepada petunjuk ini.

 

"Selain itu, inisiatif ini simbol komitmen kerajaan ke arah penerapan Amalan Baik Peraturan (GRP) yang kukuh dalam sektor penjagaan kesihatan. GRP mampu membentuk persekitaran perniagaan yang lebih kondusif dan seterusnya, menjana peningkatan produktiviti negara", kata Zahid.

 

Dato' Jacob Thomas, Peneraju Nexus Produktiviti Penjagaan Kesihatan Swasta (PHPN), berkata, "Ketelusan merupakan salah satu elemen penting dalam penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan, khususnya dalam mempertingkatkan kerjasama awam-swasta dalam sektor penjagaan kesihatan negara. Sejak penubuhannya pada 2018, PHPN, dengan kerjasama dengan MOH dan MPC, telah menerajui inisiatif untuk meningkatkan ketelusan peraturan, dan buku panduan ini menunjukkan bukti kepada komitmen berterusan terhadap inisiatif ini".

 

Buku panduan terbaru ini menandakan penerbitan ke-enam hasil kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), MPC dan PHPN. Buku panduan penubuhan hospital swasta yang diterbitkan sebelum ini telah berjaya mengurangkan masa urusan permit pembinaan daripada 800 kepada 200 hari sahaja.

 

"Selain pengurangan masa, sektor swasta akan memperoleh manfaat daripada persekitaran yang lebih mesra perniagaan melalui penerapan peraturan yang lebih konsisten seperti yang digariskan dalam buku panduan. Apabila lebih banyak klinik memasuki pasaran, persekitaran perniagaan akan menjadi lebih kompetitif yang akhirnya akan menguntungkan pesakit dalam mendapatkan rawatan yang lebih berkualiti", tambah Dato’ Jacob.

 

Buku Panduan Pembinaan dan Pengoperasian Klinik Swasta telah dilancarkan oleh KKM yang disempurnakan oleh YB Menteri Kesihatan. Ia mengandungi lima bab utama yang direka bentuk untuk membantu pengusaha swasta bagi memulakan perniagaan dan menguruskan klinik perubatan mereka.

 

Tamat.
 
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: