Penganjuran Program Persidangan MyMudah 2024 Peringkat Negeri Terengganu

6 Mac 2024, Kuala Terengganu – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bersama Kerajaan Negeri Terengganu selaku sekretariat bersama akan menganjurkan Persidangan MyMudah 2024 Peringkat Negeri Terengganu yang dijadualkan pada 10 Mac 2024 (Ahad) bertempat di Raia Hotel & Convention Centre, Kuala Terengganu.


Persidangan yang bertemakan Memacu Produktiviti Negeri Melalui Peraturan Berkualiti ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan reformasi peraturan yang berjaya untuk mempercepat pertumbuhan produktiviti, pelaburan dan ekonomi negeri. Selain itu, persidangan ini dijadikan sebagai platform memperkenalkan MyMudah sebagai mekanisma mereformasi peraturan perniagaan bagi mempercepatkan penciptaan peluang Pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.


MyMudah merupakan platform untuk komuniti perniagaan menyuarakan isu-isu berkaitan karenah birokrasi dan beban peraturan yang tidak wajar dikenakan kepada urusan perniagaan. Platform ini membolehkan akses yang lebih mudah dan cepat kepada komuniti perniagaan dan industri, dalam berurusan dengan agensi kerajaan.


Persidangan MyMudah peringkat Negeri Terengganu ini memberi fokus kepada 2 program utama iaitu forum pertama melibatkan reformasi peraturan di peringkat Kerajaan negeri dan juga forum kedua perlaksanaan reformasi yang telah dilakukan di Kedah dan Johor sebagai tandaras untuk agensi di peringkat negeri dan Persekutuan.


Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail berkata Persidangan ini juga akan mengiktiraf 17 agensi Kerajaan Negeri yang telah mempunyai unit MyMudah bertujuan untuk membolehkan

semakan peraturan dilakukan secara terancang, teliti dan menyeluruh.


Menurut beliau lagi, Unit MyMudah ini juga bukan sahaja meningkatkan ketelusan, kecekapan dan keberkesanan penyampaian peraturan khususnya di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan bahkan mewujudkan nilai tambah kepada ekosistem perniagaan di Negeri Terengganu.


Majlis perasmian Persidangan MyMudah 2024 Peringkat Negeri Terengganu bakal disempurnakan oleh YBhg Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara manakala ucapan aluan oleh YBM Tengku Seri Bijaya Raja, Dato’ Seri Tengku Farok Hussain bin Tengku Abdul Jalil, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu. Persidangan ini akan turut dihadiri oleh kira-kira 300 peserta terdiri daripada Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta pihak Industri.


Tamat.


Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: