Reformasi Masa: Kerajaan Tingkatkan Kecekapan Pelepasan Barangan dari 3 Hari ke 1 Minit, Tingkatkan Produktiviti dan Wujudkan Penjimatan Kos RM200 Juta Setahun

20 Januari 2024, Petaling Jaya - Sambil kita berlari menuju ke arah Malaysia yang lebih sejahtera dan makmur, penting untuk kita telitikan peranan "masa" dalam mencipta perubahan yang berkekalan. Masa yang tiada henti, adalah sumber yang tidak boleh ditebus semula apabila hilang. Masa juga diguna untuk menilai prestasi produktiviti. Oleh itu, masa amat penting dalam membangunkan negara.


Satu contoh ketara bagaimana masa boleh mencetuskan reformasi dibuktikan dalam usaha pembaharuan terkini oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), dengan kerjasama Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). Usahasama ini berjaya mengurangkan masa memproses pelepasan pergerakan barangan di gudang pengilang berlesen secara signifikan iaitu dari 3 hari kepada 1 minit sahaja. Ini bukan sekadar pencapaian dalam kecekapan, tetapi merupakan bukti apa yang boleh dicapai apabila masa dihormati dan digunakan secara optimum.


Pembaharuan oleh JKDM memberi kelebihan daya saing kepada 2000 syarikat Gudang Pengilangan Berlesen (LMW), pengusaha pengangkutan dan aktiviti di pelabuhan. Pastinya juga ia memberi manfaat kepada rakyat sebagai pekerja dan pengguna.


Kesan pembaharuan kepada kos operasi syarikat-syarikat LMW dapat dilihat dengan penjimatan sehingga RM200 juta setahun melalui penjimatan kos penyimpanan, kos pematuhan dan peningkatan kecekapan dalam urusan perancangan keluar dan masuk barangan.


Pergerakan barangan lebih pantas daripada pengeluar kepada pelanggan sangat penting. Bagi syarikat, mereka dapat memenuhi permintaan pengguna dengan cepat, bagi pengusaha pengangkutan, mereka dapat mengurus kenderaan dengan lebih cekap, bagi operator pelabuhan, mereka dapat mengurangkan masa penyimpanan kontena. Ekosistem yang sempurna begini, di dalam rantaian bekalan berupaya mengukuh pertumbuhan produktiviti, ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan baharu.


Penghantaran yang pantas, cekap dan boleh dipercayai juga dapat meningkatkan kepuasan pelanggan selain dapat memupuk hubungan yang lebih baik antara syarikat dan pembekal. Imej positif ini boleh menarik pelanggan serta rakan kongsi perniagaan baharu.


Oleh itu, pembaharuan yang dibuat oleh JKDM membolehkan syarikat berkembang ke pasaran baharu dengan lebih mudah, kerana mereka boleh bergantung pada pergerakan barangan yang cekap merentasi sempadan.


Kejayaan ini perlu dijadikan contoh yang baik kepada kita semua. Apabila kerajaan dan pihak swasta bekerjasama menumpukan perhatian kepada menilai dan mengurus masa dengan cekap, kita boleh mencapai tahap produktiviti dan kecekapan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kemajuan sedemikian adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara kita di peringkat global ke arah mencapai kedudukan 12 teratas di kalangan negara paling berdaya saing di dunia, sebagaimana disasar dalam kerangka Ekonomi MADANI.


Marilah kita semua bertekad untuk memanfaatkan masa dengan berganding bahu antara sektor awam dan swasta. Kita jadikan setiap detik berharga, demi untuk memacu Malaysia ke arah kejayaan peningkatan produktiviti dan kemakmuran yang lebih tinggi.


Ikhlas,

Zahid Ismail

Ketua Pengarah

Perbadanan Produktiviti Malaysia



Tamat.


Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama. 


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: