perutusan ketua pengarah 2026

Assalamuaikum & Salam Sejahtera,


Salam Produktiviti dan Selamat Tahun Baharu 2026!


Rakan Produktiviti sekalian,


Apabila kita bercakap tentang produktiviti, kita sebenarnya bercakap tentang kehidupan seharian kita.


Setiap pekerja mengharapkan gaji yang setimpal.

Setiap peniaga mahu perniagaan terus berkembang.

Setiap keluarga mendambakan kehidupan yang lebih terjamin.


Namun hakikatnya, tanpa peningkatan produktiviti, gaji sukar meningkat, kos terus menekan, perniagaan sukar berkembang dan keupayaan kerajaan untuk membantu rakyat menjadi terhad.


Tahun 2025 memberikan satu pengajaran penting. Apabila kerajaan, peniaga, pekerja dan warga kerja MPC bergerak sebagai satu pasukan, perubahan dapat direalisasikan. 


Usaha meningkatkan kemahiran melalui Akademi Dalam Industri (ADI), menggalakkan penggunaan teknologi dan amalan pengurusan moden melalui program AI untuk Produktiviti, serta mengurangkan peraturan yang membebankan melalui Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), telah menjadikan kecekapan perniagaan meningkat, kos pematuhan peraturan berjaya dikurangkan dan nilai tambah berkembang. 


Hasilnya, daya saing Malaysia meningkat ke kedudukan ke-23 dunia dalam IMD World Competitiveness Ranking (WCR) 2025. Produktiviti pekerja negara pula diunjurkan berkembang sebanyak 3.4 peratus. Ini merupakan petunjuk jelas bahawa usaha bersama membuahkan hasil.


Bagi MPC, tahun 2026 adalah tentang memastikan penambahbaikan ini lebih dirasai dalam kehidupan seharian iaitu oleh pekerja, peniaga dan seluruh rakyat.


MPC akan terus bekerjasama rapat dengan Pasukan STAR dan PEMUDAH bagi mengurangkan kos pematuhan peraturan, serta bersama Pasukan Produktiviti Nexus untuk memastikan pekerja menjadi lebih produktif bagi menerima gaji yang lebih tinggi, serta peniaga menjadi lebih berdaya saing untuk menikmati keuntungan yang lebih. 


MPC juga akan memperkenalkan program baharu iaitu Penyelidikan Berteraskan Keperluan (PBK) dan Job Redesign bagi melonjakkan produktiviti negara. 


Sasaran negara bagi tahun 2026 adalah jelas:

* Produktiviti pekerja meningkat sebanyak 3.6 peratus

* Malaysia berada dalam kelompok 20 negara paling berdaya saing dunia dalam IMD WCR 2026


Kami komited untuk terus menghapuskan beban peraturan yang tidak wajar, memperkukuh kemahiran pekerja dan memastikan peniaga menjadi lebih berdaya saing. Setiap teras produktiviti akan terus diterjemahkan kepada tindakan yang memberi kesan langsung kepada golongan sasaran.


Produktiviti bukan istilah yang abstrak. Produktiviti bermaksud gaji yang lebih baik, perniagaan yang lebih kukuh, kewangan kerajaan yang lebih mampan dan kehidupan rakyat yang lebih bermaruah.


Saya mengajak anda semua untuk terus berkongsi pandangan dan pengalaman mengenai produktiviti. Suara anda penting dalam membantu kami menambah baik perkhidmatan. Perubahan sebenar hanya berlaku apabila kita bergerak bersama.


Selamat Tahun Baharu 2026.

Bersama, kita pacu produktiviti negara demi masa depan yang lebih baik.


Terima kasih.


Datuk Zahid Ismail

Ketua Pengarah

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)