MPC telah memperkenalkan strategi korporat bagi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Environmental, Social and Governance, ESG) pada 27 Januari 2023 untuk membantu MPC melaksanakan ESG dengan berkesan. Pelaksanaan ini bukan terhad untuk MPC sahaja malah akan melibatkan industri dari 11 Nexus Produktiviti bagi memastikan sasaran 17 Sustainable Development Goals (SDGs) yang disaran oleh Kerajaan Malaysia tercapai.
Definisi ESG MPC
E - Ffokus kepada Alam Sekitar (Environmental) yang motifnya untuk mengurangkan pencemaran, mengurangkan pembaziran dan mengurangkan jejak karbon. Pengurangan karbon dapat dipercepatkan sekiranya elemen teknologi digital diadaptasi dalam pengurusan proses serta pengumpulan maklumat akan mempercepatkan ke arah pengurangan jejak karbon.
S - Ffokus kepada Sosial (Social) yang mana akan memastikan hak asasi manusia dan hak pekerja terpelihara di samping membantu rakyat Malaysia dalam meningkatkan pendapatan dan keluar dari garis kemiskinan. Perkongsian kekayaan melalui penjanaan hasil pengeluaran juga penting di antara syarikat dan pekerja selain memberikan peluang pekerjaan.
G –Ffokus kepada Tadbir Urus (Governance) yang bertindak mengukuhkan pentadbiran di dalam sektor awam atau pun swasta dari ketirisan atau salahlaku. Inisiatif ini akan bertindak untuk mengelakkan kewujudan elemen rasuah di dalam transaksi. Pengurusan pembentukan dasar atau peraturan (termasuk pindaan) melalui Pengubahan Tingkahlaku (Behavioural Insights) adalah sebahagian daripada pengukuhan tadbir urus bagi memastikan unsur kos pematuhan tidak wajar dapat dikurangkan.
Pendekatan Pelaksanaan ESG MPC
ESG yang di bawa oleh MPC adalah bersandarkan kepada objektif yang telah dirancang oleh Kerajaan melalui Rancangan Malaysia ke-12 serta disesuaikan dengan Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia.
Setiap inisiatif yang diperkenalkan oleh MPC akan menjurus kepada:
• Pembangunan Bakat Masa Hadapan;
• Penerimagunaan Teknologi;
• Peraturan Perniagaan yang Kondusif;
• Struktur Industri melalui Insentif yang Produktif; dan
• Minda Produktif di kalangan Rakyat Malaysia.
Oleh yang demikian, inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan oleh MPC kepada 11 Nexus Produktiviti akan mengambil kira elemen-elemen ESG.
Nexus Produktiviti yang terlibat
i. Agro-makanan;
ii. Digital;
iii. Elektrikal dan Elektronik;
iv. Jentera dan Peralatan;
v. Kimia dan Produk Kimia;
vi. Logistik ;
vii. Pelancongan;
viii. Pembinaan dan Alam Bina;
ix. Penjagaan Kesihatan Swasta;
x. Perkhidmatan Profesional; dan
xi. Peruncitan dan Makanan & Minuman.