Xpats Gateway Meningkatkan Kecekapan Pasaran Buruh dan Produktiviti

Penambahbaikan peraturan memainkan peranan penting dalam memangkin pertumbuhan produktiviti dengan mencipta persekitaran yang kondusif untuk inovasi, kecekapan, dan daya saing. Dengan menyusun semula proses birokrasi, mengurangkan kerumitan, dan menghapuskan peraturan yang tidak perlu, kerajaan dapat menyokong perniagaan untuk beroperasi dengan lebih cekap dan berkesan.

 

Kajian mendapati penambahbaikan peraturan berkait pasaran buruh adalah penting bagi meningkatan kecekapan operasi pasaran buruh. Negara-negara yang berdaya saing tinggi melaksanakan penambahbaikan peraturan pasaran buruh dalam pelbagai bidang untuk meningkatkan kecekapan, fleksibiliti, dan daya saing. Umpamanya, Amerika Syarikat melonggarkan peraturan berkaitan dengan amalan pengambilan dan pemberhentian pekerja bagi meningkatkan fleksibiliti dan kestabilan pasaran buruh. Kerajaan Australia memperkemas proses visa untuk menarik migrasi pekerja mahir dan menangani kekurangan buruh.

 

Berpandukan kepada amalan terbaik antarabangsa dan kajian, kerajaan telah mengambil pendekatan progresif dengan memperkenalkan inisiatif Xpats Gateway. Dilancarkan pada 15 Jun 2023, inisiatif Xpats Gateway telah memberi impak besar terhadap kecekapan pasaran buruh yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan produktiviti, nilai ditambah, dan KDNK negara. Inisiatif ini bertujuan untuk menyusun semula aliran proses permohonan pas kerja ekspatriat dan perlaksanaannya melibatkan usaha bersepadu di antara 22 agensi kerajaan.

Impak kecekapan pasaran buruh hasil inisiatif Xpats Gateway dapat dinilai daripada dua perspektif. Pertama, inisiatif ini dapat mengurangkan tempoh ‘vacuum’ di antara kekosongan jawatan dan penyertaan pekerja. Secara spesifiknya, inisiatif ini menjimatkan masa hampir 92% dengan pengurangan masa memproses daripada 6 bulan kepada maksimum 15 hari sahaja. Sejumlah 18,000 syarikat berdaftar di dalam Ekspatriate Service Division (ESD) dengan inisiatif ini juga mendapat manfaat pengurangan prosedur kepada hanya 2 prosedur berbanding 4 prosedur.

 

Kedua, pelaksanaan platform bersepadu menerusi intergrasi sistem, inisiatif Xpats Gateway secara signifikan meningkatkan penyertaan tenaga kerja mahir di Malaysia. Dengan mempercepat proses permohonan pas kerja ekspatriat, perniagaan dapat dengan cepat mendapatkan pekerja mahir yang penting untuk industri berimpak tinggi. Kecekapan yang dipertingkatkan ini memastikan bahawa syarikat dapat memberi lebih tumpuan kepada operasi asas mereka, membawa kepada peningkatan tahap produktiviti di pelbagai sektor ekonomi.

 

Inisiatif Xpats Gateway turut memberi kesan limpahan kepada penjanaan nilai ditambah keseluruhan ekonomi. Proses yang disusun semula untuk permohonan pas kerja ekspatriat bukan sahaja meningkatkan ketersediaan bakat mahir malah menarik pelaburan berimpak tinggi selari dengan keutamaan bidang tumpuan High Growth High Value (HGHV) sectors. Kesan pengganda ekonomi akibat rangsangan ke atas HGHV berpotensi menjana pertumbuhan sektor-sektor ekonomi lain yang seterusnya mendorong kemakmuran ekonomi keseluruhan.

Share by: