KSN: Tanda Awal Kejayaan Reformasi Kerenah Birokrasi Di Bawah Kerajaan Madani
JOHOR BAHRU, 24 Mei – Proses permohonan rumah mampu milik dan urusan tanah di Johor kini jauh lebih mudah bagi rakyat dan komuniti perniagaan. Ini merupakan antara pencapaian bermakna hasil Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) di bawah inisiatif Kerajaan MADANI.
Permohonan Rumah Mampu Milik Johor telah dipermudahkan secara menyeluruh iaitu hanya lima dokumen sahaja diperlukan berbanding 17 sebelumnya. Semua dokumen boleh dikemukakan secara digital tanpa perlu cetakan fizikal atau kehadiran ke pejabat kerajaan. Penjimatan yang terhasil bukan sahaja dirasai oleh rakyat dari segi masa dan tenaga, bahkan kerajaan turut menjimatkan perbelanjaan operasi sebanyak RM15.3 juta setahun. Ini adalah cerminan langsung peningkatan produktiviti sektor awam yang memberi manfaat nyata kepada rakyat.
Bagi sektor hartanah dan pelaburan pula, tempoh proses Serah Balik Kurnia Semula (SBKS) kini hanya memakan masa 3.5 bulan berbanding 17 bulan sebelumnya. Ini telah membawa kepada penjimatan kos pematuhan dianggarkan sebanyak RM290 juta setahun. Lebih penting lagi, pelaburan dapat digerakkan lebih pantas, projek pembangunan boleh dimulakan lebih awal dan tahap keyakinan terhadap sistem penyampaian kerajaan semakin meningkat.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, menyampaikan sijil penghargaan kepada Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) dan Pentadbiran Tanah Negeri Johor atas kejayaan besar ini sempena Program MADANI Rakyat Negeri Johor.
“Apabila kita mengutamakan rakyat dan permudahkan urusan perniagaan, kita akan menemui jalan untuk mempercepatkan proses, menjimatkan kos dan menambah baik produktiviti. Ini adalah bukti jelas bahawa tahap kecekapan perkhidmatan awam boleh sentiasa ditambah baik dan usaha ini akan terus diperkukuh demi perkhidmatan kerajaan yang benar-benar berkesan dan diyakini,” ujar beliau.
Kedua-dua inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang diterajui oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), selaras dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dan pelaksanaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan. Ia bukan sekadar satu pencapaian tetapi satu budaya baharu dalam penyampaian perkhidmatan awam yang lebih produktif, responsif, cekap dan mesra rakyat.
Tamat.
Untuk Pertanyaan Media:
media@mpc.gov.my