Melaka Terajui Reformasi Perlombongan REE Melalui SOP Berimpak Tinggi

Melaka, 29 April 2025 – Selaras dengan komitmen kerajaan menerusi Dasar Mineral Negara dan Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021–2030, Negeri Melaka kini berada di landasan strategik dalam memperkukuh tadbir urus sektor perlombongan dengan pembangunan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi aktiviti Perlombongan Unsur Nadir Bumi (REE). Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada projek berimpak tinggi di bawah Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), hasil kerjasama erat antara Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Selatan dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Melaka.


Program Sesi Bimbingan ini telah menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk wakil daripada kementerian persekutuan, jabatan teknikal negeri serta agensi agensi berkaitan. Sesi ini bertujuan menyelaras proses kelulusan, pemantauan dan penguatkuasaan aktiviti perlombongan REE secara sistematik, telus dan mesra pelabur.


Dengan potensi sumber REE negeri yang dianggarkan sebanyak 125,000 tan bernilai lebih RM8 bilion, usaha membangunkan SOP ini menjadi langkah penting bagi memastikan kawal selia dan pembangunan sektor ini dilaksanakan secara berhemah, selamat dan berdaya saing. Dokumen SOP ini dijangka menjadi landasan utama bagi pengurusan yang lebih cekap serta mengurangkan risiko ketirisan hasil dan penyalahgunaan kuasa.


Menurut YBhg. Datuk Anis Ali Hasan, Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Melaka, “Kejayaan Melaka dalam sektor perlombongan bukan sekadar bergantung pada sumber, tetapi pada kebijaksanaan kita mengurusnya secara teratur dan bertanggungjawab.” Beliau menegaskan pentingnya integriti pentadbiran dan pematuhan kepada garis panduan teknikal dalam memastikan kelestarian sumber dan keyakinan pelabur.


Sementara itu, Mohd Azwan Mohd Salleh, Pengarah MPC Wilayah Selatan berkata, “SOP ini adalah langkah ke hadapan dalam mengurangkan kerenah birokrasi dan pada masa yang sama membuka laluan kepada tadbir urus yang lebih berimpak dan cekap. Ini seiring dengan usaha nasional meningkatkan kecekapan sektor awam.


Antara pelan susulan yang telah digariskan termasuk lawatan penanda aras ke Negeri Perak bagi menilai secara langsung pelaksanaan amalan terbaik dalam pengurusan REE, serta Pelaksanaan simulasi SOP di lapangan bagi menguji keberkesanan serta tahap kesiapsiagaan sebelum pelaksanaan sepenuhnya. SOP rasmi dijadualkan untuk diterbitkan sepenuhnya menjelang akhir tahun 2025, dan bakal menjadi dokumen rujukan utama bagi memastikan pengurusan sektor perlombongan di Negeri Melaka dilaksanakan secara lebih lestari, sistematik dan strategik.


Usaha ini bakal memberi impak yang signifikan kepada kerajaan negeri, bukan sahaja dari sudut pematuhan dan kecekapan pengurusan sumber asli, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan hasil negeri melalui perlombongan sah dan berlesen, serta memperkukuh keyakinan pelabur terhadap Melaka sebagai destinasi pelaburan sektor mineral yang progresif.


Tamat.


Untuk Pertanyaan Media:

media@mpc.gov.my