Penambahbaikan Ekosistem Kesihatan Swasta Perkukuh Pelaburan Pembangunan Infrastruktur di Sarawak
13 Jun 2025
KUCHING, 13 Jun (Bernama) -- Kecekapan pengurusan ekosistem penjagaan kesihatan swasta mampu memperkukuh usaha meningkatkan pertumbuhan produktiviti dan menarik pelaburan pembangunan infrastruktur di Sarawak yang bernilai RM100 billion menjelang 2030.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Dr. Mohamad Norjayadi Tamam, bagi merealisasikan sasaran tersebut, Deklarasi Kuala Lumpur yang ditandatangani oleh semua Setiausaha Kerajaan Negeri pada November 2024 merupakan komitmen bersama semua pihak untuk meningkatkan kecekapan dan menangani kerenah birokrasi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan sesi libat urus bersama pemegang taruh yang terlibat dalam ekosistem penjagaan kesihatan swasta di sini, baru-baru ini.
Norjayadi berkata, ketika Deklarasi Kuala Lumpur dimeterai, peluncuran Pekeliling Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dan Pekeliling Ujikaji Peraturan (UKP) merupakan platform penting bagi usaha menambahbaik ekosistem pelaburan penjagaan kesihatan swasta di Sarawak.
“Pekeliling RKB dan UKP memberi ruang kepada usaha menangani kerenah birokrasi secara berstruktur dan memberi peluang kerjasama semua pihak termasuk sektor swasta yang memainkan peranan penting kepada sektor ekonomi,” kata beliau.
Menurut Norjayadi, usaha kolektif ini akan memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelaburan utama dalam sektor kesihatan dan pelancongan perubatan di rantau ini.
“Usaha ini dijangka memberi manfaat bukan sahaja kepada Sarawak malah kepada negara. Melalui penambahbaikan proses kerja melalui teknologi digital, produktiviti sektor kesihatan swasta akan dapat ditingkatkan. Ini bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan pentadbiran malah turut meningkatkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan,” tambah beliau.
Sesi libat urus ini merupakan langkah susulan selepas Bengkel Memantap Ekosistem Penjagaan Kesihatan Swasta Sarawak yang telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni yang telah diadakan juga di sini, baru-baru ini.
Tujuan sesi ini adalah untuk meningkatkan kecekapan proses kelulusan fasiliti kesihatan dan mengurangkan beban peraturan ke atas pelabur dan penyedia fasiliti kesihatan bermula dengan klinik.
Selain mempercepatkan pembukaan fasiliti kesihatan, inisiatif ini turut meningkatkan akses rakyat kepada rawatan kesihatan yang lebih baik, pantas dan berpatutan. Ini sejajar dengan aspirasi Post COVID-19 Development Strategy (PCDS 2030) yang menyasarkan pelaburan pembangunan infrastruktur berjumlah RM100 bilion dan menarik 120,000 pelawat kesihatan, dengan sasaran RM162 juta hasil pendapatan pelancongan kesihatan menjelang tahun 2030.
Kerjasama strategik ini juga dijangka membuka laluan baharu kepada pertumbuhan sektor kesihatan dan pelancongan kesihatan di Sarawak serta menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negeri dan negara melalui pendekatan berteraskan produktiviti, kerjasama rentas agensi dan pelaburan berimpak tinggi.
Turut hadir memberikan input pada sesi libat urus tersebut adalah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Sarawak, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDENR), Kementerian Utilti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) dan Society of Private Medical Practitioners Sarawak (SPMPS).
Sumber: MREM Bernama, Utusan Borneo, Sarawak Tribune, Dayak Daily, Business Today, United Daily News, klsesscreener