Pahang Lonjak Produktiviti Pelancongan Melalui Strategi Baharu 2025–2030

Kuantan, 2 Mei 2025 – Negeri Pahang kini bersedia melakar kejayaan baharu dalam sektor pelancongannya apabila sesi strategik pembangunan Pelan Strategik Pelancongan Negeri Pahang 2025–2030 berjaya dilaksanakan hasil kerjasama strategik antara Tourism Pahang dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).


Majlis perasmian yang berlangsung penuh berprestij telah disempurnakan oleh YB Leong Yu Man, EXCO Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, disusuli ucapan aluan oleh YBrs. Dr. Noor Aishah Hj. Hassan, Pengarah MPC Pahang. Dalam ucapan tersebut, beliau menegaskan keperluan pendekatan moden termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk merintis pembangunan pelancongan berasaskan produktiviti yang sistematik dan mampan.


Sesi ini telah berjaya menghasilkan deraf awal Pelan Strategik Pelancongan Pahang 2025–2030, yang akan menjadi dokumen rujukan utama kepada Tourism Pahang dalam usaha memuktamadkan hala tuju sektor ini bagi tempoh lima tahun akan datang.


Antara pencapaian utama sesi strategik ini termasuklah pemetaan menyeluruh terhadap cabaran semasa yang dihadapi oleh industri pelancongan, di mana wakil industri dan agensi kerajaan telah mengenal pasti isu-isu kritikal seperti kelemahan promosi, kekurangan tenaga kerja mahir, serta keperluan kepada penambahbaikan infrastruktur pelancongan. Selain itu, sesi ini turut berjaya membentuk teras pelancongan secara khusus mengikut daerah, dengan mengambil kira keunikan dan potensi produk pelancongan tempatan bagi memastikan pembangunan yang lebih berfokus, inklusif dan mampan. Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam proses analisis dan perancangan strategik membuktikan kesediaan Negeri Pahang dalam mendepani cabaran masa depan melalui inovasi digital serta pemantauan data pelancongan secara masa nyata yang lebih sistematik dan efisien.


Dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan, kerjasama rentas agensi ini telah meletakkan asas kukuh ke arah peningkatan daya saing Negeri Pahang sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia. Projek ini dijangka memberi impak signifikan terhadap lonjakan produktiviti pelancongan, mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta meningkatkan sumbangan sektor pelancongan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri menjelang 2030.


Tamat.


Untuk Pertanyaan Media:

media@mpc.gov.my