Kejayaan Tenaga Kerja MAG Auto Garage Cetus Lonjakan Baharu Dalam Pembangunan Kemahiran Negara
Senawang, 30 April 2025 – Dalam satu pencapaian yang membanggakan, sekumpulan tenaga kerja teknikal dari MAG Auto Garage Sdn. Bhd. telah berjaya menamatkan Program Akademi Dalam Industri (ADI) bagi Laluan Diploma Profesional, dengan kesemua peserta lulus cemerlang dalam Sesi Penilaian Akhir yang berlangsung di premis syarikat ini hari ini.
Program ini memberi tumpuan kepada bidang teknikal berimpak tinggi iaitu Professional Diploma in Motorbike Diagnostic Technology IR 4.0: Development of High-End Tuners – sebuah program yang membina kemahiran spesifik bagi menghadapi cabaran teknologi automotif moden. Sesi penilaian telah dilaksanakan dengan penglibatan Panel Penilai dari London Examination Board (LEB), sekali gus memberikan nilai tambah dari sudut kredibiliti antarabangsa kepada program ini.
Apa yang lebih membanggakan, pencapaian ini bukan sekadar kejayaan peribadi bagi para peserta, tetapi juga menjadi satu bukti keberkesanan pendekatan pembelajaran berasaskan tempat kerja (Work-Based Learning) dengan memperlihatkan bagaimana inisiatif seperti ADI mampu membuka laluan baharu kepada pekerja industri untuk meningkatkan tahap kemahiran dan daya saing mereka tanpa perlu meninggalkan alam pekerjaan.
Menurut Encik Zamani Bin Baharom, pemilik MAG Auto Garage Sdn. Bhd., “Saya amat berbangga dengan pencapaian semua pekerja saya yang terlibat dengan sesi penilaian akhir ini. Kejayaan ini membuktikan bahawa pekerja kita mampu bersaing di peringkat global apabila diberi ruang dan sistem sokongan yang sesuai. Program ini benar-benar membuka mata industri bahawa latihan dan kerja boleh digabungkan secara efektif untuk peningkatan kemahiran dan produktiviti secara keseluruhannya.”
Pelaksanaan program ini selari dengan agenda reformasi pasaran buruh (labor market reform) negara yang menekankan pembangunan modal insan melalui laluan pengiktirafan formal tanpa perlu meninggalkan tempat kerja – sebuah pendekatan inklusif yang kini menjadi keperluan dalam landskap pekerjaan yang menekankan pelaksanaan yang fleksibel, diiktiraf, dan selari dengan kehendak sebenar industri.
Lebih signifikan, inisiatif ini seiring dengan sasaran nasional untuk meningkatkan peratusan tenaga kerja berkemahiran kepada 40% menjelang tahun 2033, dan secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan purata tahun persekolahan (mean years of schooling) rakyat Malaysia. Impaknya bukan sahaja kepada individu, tetapi turut memperkukuh daya saing serta produktiviti negara dalam jangka masa panjang.
Kejayaan kumpulan pekerja ini membuktikan bahawa apabila industri, agensi kerajaan dan penyedia latihan profesional berganding bahu, hasilnya mampu mencetuskan perubahan sebenar. Ia juga menjadi inspirasi kepada lebih banyak syarikat lain untuk menyertai usaha membentuk tenaga kerja masa depan yang berkemahiran tinggi, progresif dan berdaya saing dalam era Revolusi Industri 4.0.
Tamat.
Untuk Pertanyaan Media:
media@mpc.gov.my