SBF Komited Tingkat Kecemerlangan Organisasi Melalui PSIEA 2025
21 Apr 2025
KUCHING: Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) bersama Kerajaan Sarawak dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) komited meningkatkan kecemerlangan organisasi di negeri ini melalui penganjuran Anugerah Kecemerlangan Industri Premier Sarawak (PSIEA) 2025.
Memasuki edisi kelima, Pengerusinya Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Openg berkata, PSIEA bermatlamat mengiktiraf pencapaian syarikat-syarikat di negeri ini dengan harapan dapat memupuk generasi baharu yang komited dalam bidang perniagaan di Sarawak.
"Ia juga diharap dapat meningkatkan kedudukan negeri ini di peringkat serantau dan global dalam bidang perniagaan yang semakin kompleks," kata Abang Abdul Karim dalam ucapan alu-aluan sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Premier Sarawak 2025 (PSIEA) di Auditorium TEGAS Digital Village, Taman Perindustrian Samajaya hari ini.
Majlis yang bertemakan ‘Kelestarian Alam Sekitar, Kemakmuran Ekonomi dan Masyarakat Insklusif' itu adalah sebahagian daripda usaha Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030 selari dengan hasrat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selama ini.
"Sejak penubuhan pada 2017, SBF terus berusaha mengukuhkan ekosistem perindustrian Sarawak.
“Justeru PSIEA adalah cerminan komitmen kami untuk memupuk kecemerlangan, inovasi dan pengiktirafan merentas semua sektor.
"Ia juga berfungsi sebagai pengiktirafan peringkat negeri tertinggi dalam kategorinya, memberi penghormatan kepada perniagaan yang cemerlang di Sarawak.
"Sehubungan itu, kami sangat berbesar hati untuk sekian kali dapat menjalin kerjasama dengan rakan strategik kami iaitu Malaysia Productivity Corporation (MPC) atas segala sokongan dan dukungan mereka yang tidak ternilai dalam memastikan proses penganugerahan yang dapat dipercayai dan berprestij ini," kata Abang Abdul Karim.
"Anugerah (PSIEA 2025) ini untuk meraikan perniagaan yang didorong oleh nilai yang kukuh dan tujuan yang jelas yakni meletakkan asas perniagaan yang jelas untuk Sarawak.
"Ketika Sarawak berusaha menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi, PSIEA memainkan peranan penting dalam menyokong agenda ekonomi dan produktiviti negeri, maka itu saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas sokongan padu sejak sekian lama," tegasnya.
Tambahnya, pihaknya menggalakkan lebih banyak aktiviti perniagaan di negeri ini untuk menyahut cabaran seterusnya menjadikan penganugerahan sebagai batu loncatan untuk memberi inspirasi kepada transformasi, menanda aras amalan terbaik selain membina warisan yang berkekalan dalam dunia perniagaan.
"Dengan minat kukuh daripada bank tempatan terhadap PSIEA 2025, kami sangat mengalu-alukan dan berharap untuk membina perkongsian bermakna yang akan mengukuhkan lagi impak dan kemampanan anugerah ini untuk tahun mendatang," katanya.
Terdahulu, majlis perasmian anugerah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Negeri Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh mewakili menterinya Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Sumber: Utusan Borneo Online, BERNAMA, Newswav, DayakDaily, Sarawak Tribune, Borneo Post Online