MPC Memperkasa Industri Di Sarawak Ke Arah Produktiviti Tinggi Dan Daya Saing Global Melalui PSIEA 2025
21 April 2025, Kuching – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama strategik bersama Sarawak Business Federation (SBF) dan Kerajaan Sarawak kekal komited dalam usaha peningkatan produktiviti dan kecemerlangan industri melalui penganjuran Premier of Sarawak Industry Excellence Awards (PSIEA) 2025 yang merupakan edisi yang ke lima.
Dengan tema “Environmental, Sustainability, Economic Prosperity and Inclusive Society”, PSIEA 2025 telah dilancarkan secara rasminya pada hari ini bertempat di Auditorium TEGAS Digital Village, Sama Jaya High Tech Park yang disempurnakan oleh YB Datuk Malcom Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak mewakili YBhg Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Premier Sarawak.
Anugerah ini diadakan setiap dua tahun sekali bermula pada tahun 2017 dan industri yang menyertai PSIEA akan berpeluang mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan iaitu Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) yang ditadbir oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI).
Dr Mazlina Shafi’i, Pengarah MPC Sarawak berkata “Penyertaan industri-industri ini akan dibahagikan kepada empat kategori iaitu mikro, kecil, sederhana dan besar. Dengan mengunakan kriteria penilaian Malaysia Business Excellence Framework (MBEF) iaitu kriteria yang sama digunakan bagi Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI), industri yang menyertai anugerah ini akan dinilai mengikut kategori untuk menerima anugerah Emas, Perak atau Gangsa”.
Menurut beliau, “Anugerah ini akan dapat mengenalpasti amalan terbaik industri-industri di Sarawak yang telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri sekaligus menjadi model rujukan dan penyuntik semangat serta persaingan sihat di kalangan pemain industri di Sarawak khasnya”.
Beliau menambah, “Saya ingin menggesa semua usahawan dan industri di Sarawak untuk memulakan langkah kecemerlangan perniagaan dalam usaha kolektif kami untuk mewujudkan lebih banyak organisasi yang cemerlang dan berdaya saing. Selari dengan rangka kerja daya saing yang mengukur kecekapan perniagaan melalui ketangkasan organisasi, saya yakin, Anugerah ini akan menjadi pemangkin untuk menyebar luas konsep Business Excellence (BE) kepada industri di Sarawak dan seterusnya menjadi sebahagian dari komuniti Business Excellence”.
PSIEA merupakan anugerah berprestij yang berupaya meningkatkan imej dan reputasi industri serta menyemarakkan budaya kecemerlangan dan penambahbaikan berterusan. Industri yang menyertai PSIEA akan memperolehi pendedahan terhadap penilaian yang komprehensif dan peluang untuk mengenal pasti kekuatan serta peluang peningkatan, lebih berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.
MPC Sarawak menyeru agar industri-industri di Sarawak untuk menyertai PSIEA 2025 bagi membudayakan kecemerlangan, meningkatkan kualiti perkhidmatan & operasi, memperkukuh keyakinan pelanggan dan menarik pelaburan serta peluang perniagaan baharu. Di samping itu, organisasi yang cemerlang ini akan menjadi contoh kepada organisasi yang lain di Sarawak serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri secara keseluruhan.
Tamat.
Untuk Pertanyaan Media:
media@mpc.gov.my