Johor Mantapkan Perkhidmatan Awam Melalui Kecerdasan Buatan (AI)

21 April 2025, Johor Bahru – Negeri Johor terus menerajui transformasi digital sektor awam menerusi penganjuran Bengkel Meningkatkan Kecekapan Perkhidmatan Awam Melalui Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) anjuran bersama Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (APTNJ) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

 

Program ini menjadi platform pembangunan kapasiti yang menyeluruh kepada penjawat awam Negeri Johor, khususnya dalam kalangan pengawalselia peraturan, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk meningkatkan produktiviti, mengurangkan kerenah birokrasi, mempercepatkan proses kelulusan serta menambah baik kualiti penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat dan sektor swasta.

 

Menurut Pengarah MPC Wilayah Selatan, Mohd Azwan Mohd Salleh, kejayaan program ini menunjukkan bahawa penjawat awam Johor bersedia melakukan anjakan budaya kerja ke arah lebih cekap dan responsif. Penerimagunaan teknologi AI bukan sahaja mempercepatkan proses kelulusan dan pemantauan, malah membuka ruang untuk penjawat awam memberi tumpuan kepada tugas yang lebih bernilai tinggi, sekaligus melonjakkan produktiviti sektor awam.

 

Program yang akan dilaksanakan sebanyak empat siri sepanjang April hingga Mei 2025 ini menghimpunkan hampir 200 penjawat awam daripada lebih 50 jabatan dan agensi kerajaan Negeri Johor.

 

Para peserta didedahkan kepada penggunaan AI bagi mempercepatkan pemprosesan dan kelulusan melalui automasi dan analitik pintar; Mengurangkan risiko ketidakpatuhan melalui pemantauan berasaskan data masa nyata; Mewujudkan persekitaran penyampaian peraturan yang lebih responsif, telus dan mesra perniagaan; sekaligus ia dapat menambah baik prestasi kerja dan masa tindak balas jabatan, menjurus kepada peningkatan produktiviti sektor awam secara keseluruhan.

 

Bengkel ini merupakan Fasa Pertama dalam pelan pembangunan tiga fasa, yang akan diteruskan dengan Fasa Bimbingan Projek AI serta Konvensyen AI Negeri Johor sebagai puncak penyampaian hasil inovasi jabatan.


Tamat.


Untuk Pertanyaan Media:

media@mpc.gov.my