Bekalan Ayam Merosot, Malaysia Kini Mengimport Semula - AFPN
01 Julai 2025
KUALA LUMPUR: Malaysia kini kembali menjadi negara pengimport bersih bagi bekalan ayam apabila tahap pengeluaran domestik tidak lagi mampu menampung keperluan tempatan, satu anjakan membimbangkan selepas berjaya mencapai tahap sara diri sepenuhnya dua tahun lalu.
Perkara ini didedahkan oleh Produktiviti Nexus Agro-makanan (AFPN) yang menyuarakan kebimbangan terhadap jaminan bekalan makanan negara, walaupun kedudukan daya saing global Malaysia secara keseluruhan menunjukkan peningkatan.
Menurut data yang diketengahkan, Tahap Sara Diri (SSL) bagi ayam telah menurun kepada 90.2 peratus pada tahun 2023.
Angka ini menunjukkan penurunan ketara berbanding 100.2 peratus yang dicatatkan pada 2021, menandakan negara kini bergantung kepada sumber luar untuk memenuhi permintaan domestik.
Walaupun Malaysia berjaya mencatat peningkatan dalam 'World Competitiveness Ranking', prestasi dalam petunjuk penting sektor agro-makanan seperti kemampuan harga, produktiviti, dan inovasi didapati masih perlahan dan kurang memberangsangkan.
AFPN menekankan bahawa isu ini bukan sahaja berkisar tentang jumlah ayam yang diternak, tetapi turut melibatkan keseluruhan rantaian bekalan.
Walaupun ayam diternak di dalam negara, kadar kebergantungan import bahan makanan ternakan kekal tinggi.
Situasi ini menjadikan sektor penternakan ayam negara amat rentan terhadap kejutan global seperti peperangan atau pandemik, serta ketidaktentuan kadar tukaran mata wang yang boleh menyebabkan kenaikan kos pengeluaran secara mendadak.
Mengulas mengenai isu ini, Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Zahid Ismail berkata, sekuriti makanan bukan hanya soal bekalan semata-mata, tetapi ia berkait rapat dengan daya tahan dan keupayaan negara untuk bersaing dalam jangka panjang.
"Kita perlu menyingkirkan halangan sistemik, membuka ruang kepada inovasi, dan mencipta ekosistem yang membolehkan petani berkembang serta menyumbang secara bermakna kepada produktiviti negara," katanya.
Sehubungan itu, AFPN menggesa agar dasar yang lebih berfokus dan responsif digubal untuk memperkukuh sekuriti makanan.
Antara keutamaan yang dicadangkan ialah memudahkan kemasukan petani baharu dan menyokong pengembangan petani sedia ada melalui akses tanah yang lebih mudah, penstrukturan semula proses kelulusan, serta pengurangan kerenah birokrasi.
Selain itu, usaha mempercepat penerimagunaan teknologi digital dalam pertanian perlu diberi keutamaan.
Namun, Zahid mengingatkan bahawa usaha ini terhalang oleh cabaran ketersambungan internet di kawasan luar bandar.
"Penerimagunaan digital adalah pemacu utama kepada produktiviti agro-makanan, tetapi ketersambungan mesti diutamakan dahulu. Pelaburan segera dan bersasar dalam infrastruktur digital luar bandar amat penting supaya tiada petani tercicir dalam usaha negara menuju ke arah pertanian pintar," tambah beliau.
Justeru, AFPN menggesa kerajaan mempercepat pemodenan sektor ini melalui pelaburan dalam pertanian pintar, pengupayaan agropreneur muda, dan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta untuk membina sistem makanan negara yang lebih terjamin.
Sumber: Berita Harian