Memacu Transformasi Digital Dalam Sistem Pendaftaran Perniagaan Di Sarawak: Sesi Libat Urus Peningkatan Kecekapan Memulakan Perniagaan
Kuching, 18 Jun 2025 – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak bersama dengan Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) telah menganjurkan Sesi Libat Urus Peningkatan Kecekapan Memulakan Perniagaan di Sarawak Melalui Pendekatan Digital pada hari ini, menandakan langkah besar ke arah reformasi menyeluruh dalam pentadbiran perniagaan secara digital di Sarawak. Sesi ini yang berlangsung dengan jayanya telah dihadiri oleh pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi pelesenan, pihak berkuasa tempatan, pemain industri, serta kementerian dan jabatan berkaitan.
Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mohamad Norjayadi Tamam dalam ucapan penutupan program berkata, “Sesi yang dilaksanakan pada hari ini adalah selaras dengan keputusan dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR), yang telah memutuskan mengenai pelaksanaan inisiatif penting seperti projek rintis reformasi pendaftaran perniagaan menerusi pendekatan Uji Kaji Peraturan (Regulatory Sandbox).”
Beliau turut berkata, “Sesi libat urus ini juga bertujuan menilai status semasa proses memulakan perniagaan, meneroka potensi digitalisasi melalui sistem sehenti dan “super form”, serta mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pelbagai pihak yang terlibat. Saya juga berhasrat agar MPC dapat menjalinkan kerjasama erat bersama Kerajaan Negeri dan rakan-rakan strategik yang berkaitan bagi memastikan pelaksanaan inisiatif yang lebih berkesan dan inklusif.”
Matlamat utama usaha ini adalah untuk meningkatkan kadar penubuhan perniagaan baharu di Sarawak dengan menyediakan ekosistem yang lebih mesra perniagaan, mengurangkan masa dan kos permulaan, serta meningkatkan kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan kerajaan. Ia juga bertujuan mengurangkan kerenah birokrasi dan memperkasakan penggunaan teknologi digital serta sistem sehenti.
Keberhasilan inisiatif ini juga bergantung kepada komitmen semua pihak yang terlibat, termasuk agensi pelesenan, pihak berkuasa tempatan, pemain industri, serta kementerian dan jabatan teknikal, supaya peraturan yang digubal bukan sahaja memenuhi kehendak dasar tetapi juga praktikal dan mesra pengguna.
Selain itu, inisiatif ini seiring dengan usaha Kerajaan Negeri dalam memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai pusat ekonomi digital yang inovatif dan inklusif. Kerajaan Sarawak melalui pelbagai dasar dan inisiatif turut menyediakan platform serta sumber untuk memastikan sistem digital yang diperkenalkan dapat memberi manfaat maksimum kepada usahawan dan komuniti perniagaan di seluruh negeri.
Pelaksanaan projek rintis reformasi pendaftaran perniagaan di Bahagian Sibu, yang akan bermula mulai 1 Ogos 2025, adalah bukti komitmen kerajaan dalam merealisasikan visi ini. Kerajaan Negeri juga berperanan sebagai pemangkin utama dalam memastikan sistem sehenti dan “super form” dapat diintegrasikan secara menyeluruh, memudahkan proses pendaftaran dan operasi perniagaan, serta meningkatkan daya saing ekonomi negeri.
Matlamat utama usaha ini adalah untuk meningkatkan kadar penubuhan perniagaan baharu di Sarawak, menyediakan ekosistem yang lebih mesra perniagaan, serta memperbaiki mutu perkhidmatan kerajaan dalam membantu usahawan dan pelabur. Dengan sokongan dan komitmen dari seluruh agensi dan pihak berkepentingan di Sarawak, inisiatif ini mampu mempercepatkan transformasi digital yang memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat seterusnya menjamin kemajuan ekonomi negeri yang mampan.
Tamat.
Untuk Pertanyaan Media:
media@mpc.gov.my