MPC Dorong Pengusaha Restoran Tingkatkan Produktiviti Melalui Transformasi Digital

14 April 2025, Kuala Lumpur – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui Nexus Produktiviti Peruncitan dan Makanan & Minuman (RFBPN) telah menganjurkan program pembangunan kapasiti kecerdasan buatan (AI) khusus untuk ahli Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA). Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha MPC memperkasa daya saing industri makanan dan minuman (F&B) melalui penerapan teknologi digital.


Program ini memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai konsep asas AI serta aplikasi praktikal penggunaan AI bagi tujuan pemasaran, penjadualan, komunikasi pelanggan, pengurusan tugasan harian dan automasi proses pentadbiran restoran. Pendekatan program merangkumi sesi interaktif dan bimbingan yang melibatkan pembinaan prompt, penciptaan aliran kerja digital serta pembangunan pelan tindakan penggunaan AI yang disesuaikan dengan keperluan perniagaan masing-masing.


“Transformasi digital dalam syarikat merupakan salah satu indikator penting yang dinilai dalam laporan World Competitiveness Ranking. Justeru, transformasi digital bukan lagi sekadar pilihan, tetapi keperluan strategik yang mendesak untuk meningkatkan produktiviti dan memperkukuh daya saing perniagaan, terutamanya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Oleh itu, melalui penggunaan AI, syarikat berupaya dapat meningkatkan sekurang-kurangnya 30 peratus kecekapan operasi dan pengurusan mereka”, tegas Datuk Zahid Ismail, Ketua Pengarah MPC.


Sementara itu, Pengerusi RFBPN, Datuk William Ng, berkata, “Antara cabaran utama dalam usaha pendigitalan subsektor peruncitan, makanan dan minuman adalah apabila teknologi yang ditawarkan di pasaran tidak menepati keperluan sebenar pengusaha yang berbeza dari aspek saiz perniagaan, kemampuan atau tahap kesediaan pengusaha, khususnya PMKS.


Oleh itu, pendekatan yang lebih mudah dan praktikal sangat penting agar teknologi benar-benar dapat digunakan dalam membantu industri untuk bergerak lebih pantas. Program seperti ini bukan sahaja membantu pengusaha memahami dan menggunakan teknologi dengan lebih yakin, tetapi juga memberi peluang kepada penyedia teknologi untuk menyesuaikan aplikasi yang dibangunkan.”



MPC akan memperluaskan program pembangunan kapasiti penggunaan AI dalam kalangan ahli PRESMA ke wilayah lain pula.


Tamat.


Untuk Pertanyaan Media:

media@mpc.gov.my