Melonjakkan Produktiviti Negara

2 Januari 2024, Petaling Jaya – Produktiviti yang tinggi berupaya membawa kepada gaji yang tinggi kepada rakyat. Pada masa yang sama, produktiviti yang tinggi turut dapat menghasilkan peningkatan keuntungan kepada syarikat serta sumbangan hasil cukai yang lebih besar kepada Kerajaan. Malaysia mempunyai potensi pertumbuhan produktiviti yang sangat besar, dengan sasaran pertumbuhan sebanyak 3.8% setahun (2024-2025).
 
InsyaAllah, kita boleh mencapai impian ini melalui usaha-usaha berikut:
 
Peningkatan kemahiran: Rakyat perlu melibatkan diri dalam pendidikan formal dan tidak formal untuk memperolehi pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk kekal bersaing di pasaran pekerjaan yang sentiasa dinamik. Malaysia mensasarkan peningkatan dalam petunjuk prestasi Purata Tempoh Pembelajaran dalam Indeks Pembangunan Sumber Manusia kepada 12.5 tahun menjelang 2030 dari 10.6 tahun pada ketika ini.
 
Penerimagunaan Teknologi: Syarikat perlu memahami dan mengguna secara menyeluruh kaedah pengurusan moden, teknologi digital, automasi dan mekanikal untuk meningkatkan kecekapan. Indeks Teknologi Digital perlu ditingkatkan ke kedudukan ke-12 menjelang tahun 2030 dari kedudukan ke-33 pada ketika ini di kalangan 64 negara.
 
Dasar dan Peraturan yang Berkesan:
Pembuat polisi perlu memastikan agar dasar dan peraturan yang dikuatkuasakan adalah tidak membebankan rakyat dan syarikat. Malaysia mensasarkan Indeks Daya Saing Global di kedudukan ke-12 menjelang tahun 2030 dari kedudukan ke-27 pada tahun 2023.
 
Pertumbuhan produktiviti merupakan pemacu kepada reformasi di peringkat rakyat, organisasi, industri dan negara. Dengan pemahaman, penglibatan aktif dan kerjasama daripada semua pihak ke arah meningkatkan produktiviti, kita akan membuka jalan ke arah masa depan yang lebih makmur, bahagia, sejahtera, dan mampan.
 
Ikhlas,
Zahid Ismail
Ketua Pengarah
Perbadanan Produktiviti Malaysia 

 

Tamat.
 

Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama. 


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: