Lonjakan Produktiviti Perkhidmatan Profesional Pacu Daya Saing Malaysia
Kuala Lumpur, 15 Julai – Sektor Perkhidmatan Profesional Malaysia mencatat pencapaian cemerlang pada tahun 2025 dengan peningkatan produktiviti sebanyak RM94,964 per pekerja, meningkat daripada RM89,748 pada tahun 2023. Pencapaian ini merupakan rekod tertinggi dalam tempoh lima tahun sejak 2020, menghampiri penanda aras purata nasional sebanyak RM100,000.
Kejayaan ini didorong oleh usaha strategik Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui Nexus Produktiviti Perkhidmatan Profesional (PSPN) yang merangkumi bidang utama seperti perkhidmatan guaman, kewangan, kejuruteraan, seni bina, perkhidmatan pengurusan dan pengiklanan. Subsektor ini kini berada di landasan tepat untuk melalui transformasi menyeluruh, sekaligus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
Ketua Pengarah MPC, Datuk Zahid Ismail berkata, “Subsektor Perkhidmatan Profesional adalah tunjang penting ekonomi negara. Melalui peningkatan digitalisasi, kemahiran tenaga kerja yang maju, serta kecekapan regulasi, subsektor ini mampu melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam perkhidmatan profesional.”
Beliau menambah, sasaran utama MPC adalah memastikan subsektor ini bukan sahaja mencapai, malah melangkaui penanda aras nasional, seterusnya menjadi contoh terbaik dalam amalan produktiviti tinggi.
Sementara itu, Pengerusi PSPN, Ts. Ir. Choo Kok Beng menegaskan bahawa peningkatan produktiviti ini adalah hasil daripada sinergi kukuh antara teknologi, kolaborasi sektor awam-swasta, dan kerjasama strategik antara industri dengan institusi latihan.
“Kami yakin subsektor ini mampu mencipta ekosistem mampan yang menyokong inovasi dan pertumbuhan ekonomi berdaya tahan. Produktiviti tinggi adalah hasil daripada usaha bersepadu semua pihak,” tambah beliau.
Dalam menghadapi persaingan global yang semakin sengit, MPC komited untuk terus memperkasa subsektor Perkhidmatan Profesional melalui pendekatan strategik, intervensi bersasar, dan pengukuhan kapasiti sektor ini. Usaha ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan produktiviti, tetapi juga memastikan sektor ini menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kelestarian ekonomi Malaysia secara keseluruhan.
Dengan pelaksanaan langkah proaktif ini, subsektor Perkhidmatan Profesional dijangka akan mencatat pertumbuhan produktiviti yang lebih memberangsangkan, sekaligus memperkukuh daya saing negara di peringkat antarabangsa.
Tamat.
Untuk Pertanyaan Media:
media@mpc.gov.my