Produktiviti Malaysia disasarkan berkembang purata 3.7% setahun bagi dalam Rancangan Malaysia Ke-12, 2021-2026. Prestasi dijangka akan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diantara 5% sehingga 6% dalam tempoh yang sama. Justeru itu, usaha akan terus pergiat untuk mencergaskan pertumbuhan produktiviti dan melonjakkan prestasi ekonomi.


Dalam usaha untuk mencapai sasaran yang ditetapkan, tiga faktor utama iaitu pembangunan bakat, reformasi peraturan dan teknologi memainkan peranan penting dalam mencapai pertumbuhan ekonomi yang tinggi dengan melonjakkan pertumbuhan produktiviti. Ketiga-tiga faktor ini saling berkaitan sebagai penggandanya dalam meningkatkan kecekapan dan daya saing ekonomi.

Dalam konteks membentuk masa depan yang produktif, keutamaan diberikan kepada penyelarasan semula pasaran buruh dan peningkatan pembangunan bakat. Antara strategi utama dalam menjajarkan semula pasaran buruh adalah menggalakkan peningkatan pampasan pekerja (CE) dan penyertaan tenaga buruh serta memperkukuh sistem yang menyokong pasaran buruh. Model gaji progresif akan diperkenalkan untuk mempercepat pertumbuhan kadar upah dan menangani isu berkaitan bahagian pampasan pekerja kepada KDNK yang rendah. Bahagian pampasan pekerja (CE) daripada KDNK mencatat 32.4% pada tahun 2022 dan menyasarkan 40% Bahagian pampasan pekerja pada tahun 2025. Melalui langkah-langkah ini, Malaysia berazam memacu pertumbuhan produktiviti dengan berkesan menjelang tahun 2025.


Reformasi peraturan melibatkan penyemakan semula peraturan ekonomi dan perniagaan. Proses ini membantu mengurangkan kelewatan birokrasi dan meningkatkan kecekapan operasi perniagaan. Langkah-langkah seperti mengurangkan karenah birokrasi, serta meningkatkan masa pengeluaran permit dan proses kecekapan peraturan, membuka ruang untuk pertumbuhan ekonomi yang lebih lancar dan pantas.


Perkembangan teknologi memainkan peranan utama dalam meningkatkan produktiviti. Penggunaan teknologi maklumat, automasi, dan kecerdasan buatan dapat merangsang efisiensi dan memberikan hasil yang lebih cepat. Untuk meningkatkan kecekapan ini, kerajaan melalui Government Technology (GovTech) dijangka dapat memperhebatkan revolusi digital dan keupayaan perkhidmatan awam selain pendekatan ‘keseluruhan kerajaan’ dalam pemodenan sektor awam.


Dengan menyelaraskan ketiga-tiga faktor ini, negara dapat mencapai pertumbuhan ekonomi yang mapan, inovatif, dan berdaya saing. Ini membentuk landskap ekonomi yang responsif terhadap cabaran global, menjana hasil ekonomi yang lebih cepat, dan memberikan dorongan kepada pembangunan ekonomi yang berterusan.