Malaysia Naik Dalam Kedudukan Daya Saing Global, Namun Sekuriti Makanan Masih Membimbangkan
1 Julai 2025, Kuala Lumpur – Produktiviti Nexus Agro-makanan (AFPN) menggesa penggubalan dasar yang lebih berfokus dan responsif untuk memperkukuh sekuriti makanan negara, susulan kebimbangan yang meningkat terhadap kenaikan harga makanan serta pergantungan yang tinggi kepada rantaian bekalan global. Walaupun Malaysia mencatat peningkatan dalam World Competitiveness Ranking (WCR), prestasi petunjuk sektor agro-makanan seperti kemampuan harga, produktiviti dan inovasi masih perlahan dan kurang memberangsangkan.
Malaysia masih bergantung tinggi kepada import makanan. Contohnya, Tahap Sara Diri (SSL) ayam menurun kepada 90.2% pada 2023 berbanding 100.2% pada 2021 menunjukkan peningkatan kebergantungan kepada sumber luar. Walaupun ayam diternak dalam negara, kadar kebergantungan import bahan makanan ternakan kekal tinggi, menjadikan sektor ini rentan terhadap kejutan global dan turun naik kadar tukaran.
AFPN menekankan perlunya pembaharuan dasar yang proaktif dan kontekstual. Antara keutamaan ialah memudahkan kemasukan petani baharu dan menyokong pengembangan petani sedia ada melalui akses tanah yang lebih mudah, penstrukturan semula proses kelulusan, serta pengurangan kerenah birokrasi yang menghalang inovasi dan pelaburan.
Usaha mempercepat penerimagunaan teknologi digital dalam sektor agro-makanan perlu diberi keutamaan. Namun, ketersambungan internet di kawasan luar bandar kekal sebagai cabaran utama, menyukarkan petani mengakses teknologi pintar, maklumat pasaran, dan perkhidmatan digital kerajaan. Tanpa infrastruktur asas yang kukuh, transformasi digital akan terus bersifat tidak inklusif.
“Sekuriti makanan bukan hanya soal bekalan tetapi ia berkait rapat dengan daya tahan dan keupayaan bersaing jangka panjang,” kata Datuk Zahid Ismail, Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
“Kita perlu menyingkirkan halangan sistemik, membuka ruang kepada inovasi, dan mencipta ekosistem yang membolehkan petani berkembang serta menyumbang secara bermakna kepada produktiviti negara.”
Tambah beliau lagi, “Penerimagunaan digital adalah pemacu utama kepada produktiviti agro-makanan, tetapi ketersambungan mesti diutamakan dahulu. Pelaburan segera dan bersasar dalam infrastruktur digital luar bandar amat penting supaya tiada petani tercicir dalam usaha negara menuju ke arah pertanian pintar.”
AFPN menggesa kerajaan mempercepat pemodenan sektor agro-makanan melalui pelaburan dalam pertanian pintar, pengupayaan agropreneur muda, pemudahan regulasi, dan kerjasama erat sektor awam-swasta. Tindakan ini penting bagi membina sistem makanan negara yang berdaya tahan dan terjamin.
Tamat.
Untuk Pertanyaan Media:
media@mpc.gov.my