8 Februari 2024, Kota Kinabalu – Inisiatif penyeragaman Garis Panduan Permohonan Lesen di Bawah Undang-undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan Sabah adalah inisiatif yang dijalankan melalui kerjasama dan kolaborasi antara Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) dan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) Sabah. Pelaksanaan inisiatif ini adalah salah satu inisiatif di bawah Amalan Baik Peraturan (Good Regulatory Practice – GRP) Sabah selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan SMJ 1.0:2021-2025) dalam Pemboleh Daya Keberkesanan dan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan, dan Pemboleh Daya Kecemerlangan Tadbir Urus yang Berintegriti serta menyokong konsep “Membangun Malaysia MADANI” dalam memeta hala tuju Malaysia menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera.

 

Peluncuran Garis Panduan Permohonan Lesen di Bawah Undang-undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan Sabah telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri II / Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan pada hari ini bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC) yang dihadiri oleh 25 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah. Penerbitan Garis Panduan ini adalah penting untuk dijadikan panduan kepada golongan peniaga dalam mengenal pasti dan memenuhi keperluan yang ditetapkan sebelum menjalankan sesuatu perniagaan. Antara faedah yang akan diperolehi dengan adanya Garis Panduan ini adalah meningkatkan ketelusan peraturan pelesenan, meningkatkan kecekapan penyampaian peraturan, memudahkan aktiviti perniagaan, menjimatkan kos pematuhan, mengurangkan karenah birokrasi dan meningkatkan produktiviti negeri.

 

YBrs. En. Edward Binty, Pengarah MPC Wilayah Sabah berharap pelaksanaan inisiatif ini mampu mewujudkan persekitaran yang mesra perniagaan serta menyumbang kepada jangkaan penjimatan kos pematuhan sebanyak 25 peratus menjelang 2025. Pelaksanaan inisiatif ini juga selaras dengan naratif yang diketengahkan oleh pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah dalam merancakkan aktiviti ekonomi dan melonjakkan imej Sabah sebagai *Negeri Mesra Pelabur – Friendly Investor State” dan “Ease and speed in doing business”.

 

MPC komited memacu produktiviti dan daya saing ke arah sasaran pertumbuhan 3.7% produktiviti negara di dalam RMKe-12, melalui pelbagai misi peningkatan produktiviti seperti memperkasa bakat, mempercepatkan penerimagunaan teknologi, dan mereformasi peraturan.

 

Tamat.


Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama. 


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: