7 Februari 2024, Kulim – Majlis Perbandaran Kulim, Kedah (MPKK), melalui kolaborasi awam-swasta bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Nexus Produktiviti Pembinaan (CPN), dan para pemain industri pembinaan terus mengorak langkah ke hadapan dalam usaha melonjakkan produktiviti bagi meningkatkan kecekapan proses kerja melalui penerimagunaan teknologi dan digitalisasi.

 

MPKK sedang meneraju pelaksanaan projek rintis penggunaan sistem National BIM e-Submission (NbeS) bagi permohonan pemajuan pelan bangunan. Gerak kerja projek rintis bermula pada Julai 2023 yang telah membawa kepada pelancaran rasmi BIM Station MPKK (Pusat Operasi BIM) pada 28 Ogos 2023.

 

Menurut Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Dato’ Sr Mohd Zaid Zakaria, NBeS merupakan inisiatif CIDB untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengguna pakai teknologi Building Information Modeling (BIM).

 

Jelas beliau, ”BIM merupakan proses penyediaan, penggunaan, dan perkongsian model 3D menerusi teknologi digital. Ia mengandungi maklumat yang dapat digunakan oleh semua pihak yang terlibat dalam sesebuah projek bagi mencapai objektif di sepanjang fasa pelaksanaan projek.”

 

”Penggunaan BIM dapat mengurangkan kos, meningkatkan kualiti, dan mempercepatkan tempoh penyiapan projek pembinaan. BIM dapat membantu kontraktor dan pemaju mengelakkan masa dan kos tambahan dalam tempoh pembinaan dan setelah projek siap.”

 

”Penerimagunaan BIM secara meluas dijangka akan meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor pembinaan Negara melalui proses kerja yang lebih cekap, berkesan, fleksibel, dan inovatif. CIDB amat menyarankan PBT di Malaysia mengguna pakai NBeS secara meluas. Usaha proaktif MPKK menjadi contoh bagi PBT lain.” Tambah Dato’ Sr Mohd Zaid.  

 

MPKK mengenal pasti dua syarikat pengilangan bagi tujuan projek rintis. Pada masa yang sama, MPKK sedang melengkapkan keperluan teknikal dan aplikasi yang berkaitan, serta menjalankan sesi pembangunan kapasiti untuk para kakitangan yang terlibat dan Principal Submitting Person (PSP).

 

BIM Station MPKK dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada April 2024. Penggunaan BIM Station MPKK yang mengguna pakai sistem NBeS disasar akan mengurangkan tempoh memproses permohonan kelulusan pelan bangunan kepada hanya 24 jam berbanding 57 hari pada keadaan semasa.

 

Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail berkata bahawa usaha MPKK dalam melonjakkan produktiviti melalui kecekapan proses dan penerimagunaan teknologi digital perlu dijadikan contoh kepada PBT lain.

 

”Sejurus kejayaan Projek E10: Permit Pembinaan Ekspres yang berjaya mengurangkan tempoh masa pembinaan kilang serta siap beroperasi daripada 24 bulan kepada 10 bulan, MPKK terus meneraju usaha kerjasama awam-swasta dalam meningkatkan kecekapan proses untuk melonjakkan produktiviti, baik di pihak pengawal selia mahu pun pemain industri. Usaha ini menunjukkan bahawa kolaborasi erat pihak Kerajaan dan industri adalah amat penting bagi mencapai aspirasi agenda Negara.”

 

”Penggunaan BIM secara meluas oleh PBT akan meningkatkan produktiviti sektor pembinaan. Pelbagai pihak dalam sesebuah projek pembinaan boleh bergerak secara serentak melalui satu sistem digital yang sama. Ini memudahkan perkongsian maklumat, meningkatkan kecekapan komunikasi, dan menambah baik koordinasi kerja.”

 

”Melalui BIM, reka bentuk dan analisis lebih tepat, perancangan dan jadual lebih efisien, dan sumber dapat diuruskan dengan lebih berkesan. BIM turut meningkatkan kepatuhan kepada peraturan yang ditetapkan. Penggunaan kos, masa, dan tenaga, serta pelaksanaan prosedur proses lebih efektif, justeru meningkatkan produktiviti.” Jelas Zahid.

 

MPC komited dalam memudah cara perluasan usaha ini agar lebih banyak PBT mengguna pakai sistem NBeS dalam memproses permohonan kelulusan pelan bangunan.

 

Kerjasama MPC, CIDB, Nexus Produktiviti Pembinaan (CPN) disambut baik oleh MPKK. Yang Dipertua MPKK, Dato’ Haji Elmi bin Yusoff berkongsi sentimen yang sama bahawa penerimagunaan teknologi digital adalah satu keperluan penting dalam meningkatkan produktiviti dan kecekapan PBT terutamanya dalam perihal pembangunan industri.

 

Kata beliau ”Pelaksanaan BIM Station MPKK selari dengan misi MPKK untuk menjadikan Kulim bandar pintar, makmur, dan damai. Komitmen MPKK adalah untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada industri, perniagaan, dan masyarakat penduduk di Daerah Kulim.”

 

”MPKK berterima kasih dan menyambut baik kerjasama dan sokongan MPC, CIDB, dan pemain industri dalam menjayakan pelaksanaan BIM Station MPKK. Saya yakin usaha ini akan merancakkan lagi pelaburan dan pembangunan industri di Kulim yang seterusnya akan meningkatkan aktiviti ekonomi setempat.”

 

Pelbagai inisiatif digitalisasi perkhidmatan dilaksanakan oleh MPKK, antaranya sistem OSC 3.0 Plus Online, sistem mesyuarat atau perjumpaan atas talian, pembayaran parkir tanpa tunai melalui Kulim Smart Parking (KSP), pembayaran cukai taksiran melalui PBTPay, dan pembangunan Sistem Pangkalan Data Bersepadu (KIDs) terkait dengan data geospatial bagi merancang, melaksana, memantau dan mengurus perbandaran masa hadapan dengan lebih teratur dan sistematik. Penggunaan BIM ini akan memberi sokongan penuh kepada hasrat MPKK bagi mewujudkan pembangunan sistem CIM (City Infomation Modeling) pada tahun 2025.



Tamat.


Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama. 


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: