New Deal for Business (NDFB): Komitmen Kerajaan Tingkat Produktiviti

5 Februari 2024, Kuantan – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan produktiviti serta daya saing negara. Satu Sesi Libat Urus dengan kerjasama Kementerian Ekonomi telah diadakan bertujuan untuk mendapatkan maklumbalas daripada Persatuan Perniagaan dan Industri negeri Pahang dalam membangunkan dokumen New Deal for Business (NDFB).

 

Dokumen NDFB ini merupakan komitmen kerajaan untuk meningkatkan keyakinan perniagaan, merangsang pertumbuhan ekonomi serta mendorong transformasi digital negara. Pelaksanaan NDFB akan memberi impak kepada pelaburan langsung asing dan domestik, penciptaan pekerjaan baru serta meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia. NDFB turut diselaraskan dengan sasaran Ekonomi MADANI untuk meletakkan Malaysia di kalangan 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia.

 

Sesi dialog terbuka ini telah menyaksikan penyertaan 13 wakil dari persatuan perniagaan dan industri di Pahang termasuk Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) Cawangan Timur, Real Estate and Housing Developers' Association (Rehda), Kuantan Chinese Chamber of Commerce and Industry (KCCCI), Gebeng Industrial Support Group (GISG), dan Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM). Para peserta telah mengutarakan pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi oleh sektor industri, khususnya yang berkaitan dengan peraturan dalam 10 bidang B-READY. Mereka percaya kolaborasi awam-swasta dapat meningkatkan ekonomi, mewujudkan persekitaran perniagaan kondusif seterusnya melonjakkan produktiviti dan daya saing.

 

Dalam sesi ini, Puan Amutham Subramaniam, wakil Kementerian Ekonomi mengalu-alukan isu dan cabaran yang dihadapi industri dalam menambahbaik persekitaran perniagaan dan meningkatkan kecekapan penyampaian peraturan di Malaysia. Sehubungan itu maklumbalas daripada semua pemain industri di Pahang amatlah penting dan akan diperhalusi untuk dimuat naik di dalam dokumen NDFB.


Tamat.


Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama. 


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: