Fokus Kepada Bakat, Peraturan, dan Teknologi Bagi Lonjakkan Pertumbuhan Produktiviti 2024

26 Februari 2024, Petaling Jaya – Tahap produktiviti bagi setiap pekerja pada tahun 2023 merekodkan peningkatan kepada RM96,692 berbanding RM95,858 pada tahun 2022. Pertumbuhan produktiviti Negara pula positif namun menyederhana dengan kadar 0.9 peratus pada tahun lepas.

 

Bagi tahun 2024 dan 2025, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) menyasarkan pertumbuhan produktiviti kukuh dengan kadar 3.8 peratus setahun. Sasaran ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan dalam meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam semua sektor ekonomi, serta memastikan kedudukan Malaysia berada di landasan yang tepat bagi mencapai sasaran kerangka Ekonomi MADANI.

 

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yakin sasaran ini mampu dicapai. Kenaikan jumlah pekerja pada tahun 2023 kepada 16.2 juta menggambarkan trajektori positif pewujudan peluang pekerjaan baharu dan peningkatan aktiviti ekonomi di masa hadapan yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti yang lebih kukuh.

 

Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail berkata, “Memandang ke hadapan, fokus akan diberi kepada refomasi peraturan, kesediaan bakat masa hadapan dan penerimagunaan teknologi dan pendigitalan bagi memastikan kelulusan pelaburan RM329.5 bilion pada 2023 yang membabitkan 5,101 projek serta potensi mewujudkan lebih 127,000 peluang pekerjaan baharu dapat disegerakan bagi membolehkan sasaran pertumbuhan produktiviti 3.7% (Purata pertumbuhan 2021-2023: 2.8%) sepanjang RMKe-12 dicapai”.

 

“MPC komited berkerjasama dalam memudahcara inisiatif peningkatan produktiviti bagi memastikan sasaran KSP RMKe-12 boleh dicapai. Melalui kerjasama erat antara pihak Kerajaan dan pemain industri, MPC yakin produktiviti boleh ditingkatkan dengan menangani isu dan cabaran yang membelenggu operasi perniagaan dan penyampaian perkhidmatan”, jelas beliau dalam satu kenyataan.

 

MPC yakin peningkatan produktiviti menjadi pemacu perubahan ke arah kualiti hidup rakyat yang lebih baik dan kesejahteraan Negara secara menyeluruh.

 

Produktiviti yang tinggi membawa kepada gaji yang lebih tinggi kepada rakyat. Dengan meningkatnya produktiviti, pekerja dapat memberikan sumbangan yang lebih besar kepada proses pengeluaran, yang seterusnya membawa kepada kenaikan pendapatan pekerja.

 

Produktiviti yang tinggi turut membawa kepada peningkatan keuntungan kepada perniagaan. Melalui kecekapan operasi dan proses pengeluaran, perniagaan dapat menghasilkan lebih banyak produk atau perkhidmatan dengan kos yang lebih rendah. Ini meningkatkan daya saing syarikat dan membawa kepada peningkatan keuntungan yang diterjemahkan kepada pembangunan ekonomi mampan.

 

Kepada pihak kerajaan, peningkatan produktiviti menyumbang kepada hasil cukai yang lebih besar di semua peringkat kerajaan. Hasil kerajaan dikembalikan semula kepada rakyat melalui bantuan dan insentif, pembangunan infrastruktur yang lebih baik, dan kemudahan serta fasiliti awam yang berkualiti.


Tamat.


Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama. 


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: