Insiatif Memudahkan Urusan Perniagaan Memacu Produktiviti Negeri Terengganu

10 Mac 2024, Kuala Terengganu – Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melaksanakan langkah proaktif dalam meningkatkan kualiti peraturan melalui Program MyMudah ke arah melonjakkan produktiviti, daya saing dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negeri. Kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Pejabat Daerah dan Tanah di negeri ini telah menubuhkan Unit MyMudah sebagai tanda komitmen kepada usaha ini. MyMudah merupakan platfom yang dikelola oleh MPC bagi komuniti perniagaan menyuarakan isu-isu berkaitan karenah birokrasi dan beban peraturan yang tidak wajar untuk ditangani.


Persidangan MyMudah 2024 Peringkat Negeri Terengganu telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki bin Ali dan beliau berharap semua agensi-agensi Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat memberi kerjasama yang berterusan untuk memanfaatkan platform MyMudah agar dapat meningkatkan kecekapan penyampaian peraturan oleh Kerajaan Negeri.


Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja Dato’ Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, dalam ucapan beliau berkata “Kerajaan Negeri memberi sokongan penuh terhadap usaha mempermudahkan urusan pelaburan melalui kecekapan peraturan perniagaan. Usaha yang dijalankan ini bukan sahaja menarik minat pelabur tetapi juga memberi limpahan ekonomi kepada rakyat setempat serta ekonomi negeri Terengganu”.

“Kerajaan Negeri yakin usahasama dengan MPC ini bakal membuka peluang baharu serta manfaat kepada rakyat Terengganu sejajar dengan pelan jangka panjang negeri iaitu Pelan Induk Terengganu Sejahtera atau singkatannya PITAS 2030”, tambah beliau.

Persidangan yang melibatkan 300 penyertaan daripada Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Kerajaan Persekutuan serta persatuan perniagaan pada hari ini menyaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja  Dato’ Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil menerima Anugerah Tokoh Produktiviti atas kepimpinan dan komitmen beliau dalam memastikan urusan menjalankan perniagaan di Negeri Terengganu adalah mudah dengan disokong dasar pro-perniagaan.


Dalam pada itu, Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail berkata dalam ucapan penutup, “MPC menyeru agar platform MyMudah digunakan sepenuhnya bagi menyelesaikan isu dan cabaran dalam penyampaian peraturan perniagaan, yang seterusnya akan memberi kesan positif, bukan sahaja kepada pemain industri, malah kepada pengawal selia dalam melaksanakan peraturan dengan lebih cekap. Negeri mampu menarik lebih ramai pelabur berimpak tinggi apabila urusan dan operasi perniagaan dipermudahkan”.


“MPC yakin pelaksanaan MyMudah di seluruh negara akan meningkatkan produktiviti dan daya saing yang dapat meningkatkan kualiti kehidupan lebih baik dan sejahtera”.


Tamat.


Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: