Kecekapan Urusan Pembinaan Lonjak Produktiviti Johor

12 Mac 2024, Johor Bahru – Persekitaran perniagaan yang kondusif dan kelancaran urusan perniagaan menjadi pengganda pertumbuhan produktiviti mampan. Kerajaan Negeri Johor bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sebagai pemudahcara sedang mempergiatkan usaha bagi melonjakkan prestasi produktiviti Negeri agar menjadi destinasi pilihan utama pelaburan, perindustrian dan perniagaan.


Jika sebelum ini, model Johor Fast Lane (JFL) memberi penekanan terhadap transformasi peraturan dalam meningkatkan kecekapan Kebenaran Merancang pembangunan, kini skop JFL sedang diperluaskan kepada JFL V2.0 meliputi urusan tanah, pergerakan mesin dan barangan serta penggajian ekspatriat yang merupakan antara pemacu kepada peningkatan pelaburan.


Mohd Azwan Mohd Salleh, Pengarah MPC Wilayah Selatan melalui ucapan beliau pada Bengkel Pelaksanaan Program Johor Fast Lane V2.0, yakin bahawa sesi libat urus dan perbincangan bersama pihak berkepentingan seperti Pejabat Tanah dan Galian, Pihak Berkuasa Tempatan, Pemaju Utama dan Agensi Teknikal seperti Ranhill SAJ serta Tenaga Nasional Berhad akan dapat membantu mencapai kesepakatan dan penyelesaian menang-menang bagi semua pihak.


Menurut beliau lagi, “Ekosistem perniagaan yang kondusif dapat menarik pelaburan berimpak tinggi. Pelaburan sama ada domestik atau dari luar negara, memberi kesan limpahan yang amat baik kepada penjanaan pendapatan negeri dan PBT, peningkatan taraf sosio-ekonomi setempat, dan penciptaan peluang pekerjaan baharu. Paling utama, apabila negeri kita makmur, maju, dan berkembang, rakyat dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik.”


Bengkel ini memfokuskan kepada perkongsian amalan terbaik dan cadangan penambahbaikan terhadap inisiatif – inisiatif yang telah dilaksanakan merangkumi inisiatif Kulai Fast Lane, Sistem SmartGPB, Sistem Xpats Gateway dan Urusan Ubah Jenis Kegunaan Tanah. Senai Airport City Sdn. Bhd. turut berkongsi isu dan cabaran yang dihadapi sebagai pemaju utama di kawasan Perindustrian Senai Airport City yang akan dijadikan sebagai kajian kes dalam menambahbaik pelaksanaan inisiatif JFL V2.0 ini. Turut hadir adalah pihak Jland Group Sdn. Bhd. yang merupakan Pemaju Utama bagi Ibrahim Technopolis (IBTEC) termasuk Sedenak Tech Park (STeP).


Kerjasama erat Kerajaan dan Swasta akan terus membawa manfaat dan memastikan fasilitasi pelaburan dapat diinovasikan bagi mewujudkan persekitaran pembangunan yang mampan dan seterusnya dapat melonjakkan produktiviti dan daya saing Negeri Johor.


Tamat.


Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: