Kerajaan Negeri Terengganu dan MPC Mengukuhkan Sinergi untuk Meningkatkan Produktiviti dan Daya Saing Negeri

19 Februari 2024, Kuala Terengganu – Dalam usaha meningkatkan produktiviti dan daya saing di Terengganu, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bersama Kerajaan Negeri Terengganu komited memperkasakan ekosistem peraturan melalui peningkatan kecekapan peraturan, melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pihak Daerah Tempatan (PDT) dan Pejabat Tanah Galian (PTG).

 

MPC telah memperkenalkan unit MyMudah bagi meringankan beban peraturan yang tidak wajar terhadap komuniti perniagaan. Platform ini memberikan akses yang lebih mudah dan cepat kepada komuniti perniagaan dan industri, dalam berurusan dengan agensi kerajaan.

 

Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail yakin bahawa MyMudah bukan sahaja akan menyediakan akses yang lebih lancar kepada industri, tetapi juga akan meningkatkan kawal selia pihak Kerajaan seterusnya memberikan nilai tambah yang mapan kepada ekosistem perniagaan di Negeri Terengganu.

 

“Sebagai contoh, mengikut Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 Peraturan 110 (4), alat ganti dan peranti perlindungan perlu diperiksa setiap 2 tahun sekali. Operasi industri minyak dan gas di Terengganu mengalami gangguan dan turut terkesan kerana proses ini memaksa penangguhan operasi yang kerap. Hasil sesi libat urus dan rundingan di antara industri, Agensi Kerajaan dan Suruhanjaya Tenaga telah menambahbaik tempoh penyelenggaraan dari 2 tahun kepada 4 tahun sekaligus membawa penjimatan besar sehingga RM6 bilion dan mengurangkan kesan penutupan operasi”, kata beliau.


Matlamat rangka kerja Ekonomi MADANI menyasarkan Malaysia berada di kedudukan diantara 30 ekonomi terbesar dunia dalam masa 10 tahun. Inisiatif ini bukan sahaja menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti dan daya saing di peringkat nasional, negeri dan wilayah tetapi juga selari dengan hala tuju utama Negeri Terengganu menerusi Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030.

 

MPC akan terus komited untuk memodenkan peraturan perniagaan khususnya di Negeri Terengganu dalam memastikan urusan para pemain industri dipermudahkan dan seterusnya melonjakkan produktiviti dan daya saing negeri. 



Tamat.


Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama. 


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: