Kerjasama Strategik antara Kerajaan Negeri dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dalam Pemerkasaan Inisiatif MyMudah @ Pemudahcara Sabah Maju Jaya (SMJ)

4 Mac 2024, Kota Kinabalu – Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) komited dalam usaha penambahbaikan peraturan bagi mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif ke arah melonjakkan produktiviti, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pelaburan berimpak tinggi di Negeri Sabah. Pelaburan, sama ada domestik atau dari luar negara, memberi kesan yang signifikan kepada pendapatan negeri, peningkatan taraf sosio-ekonomi setempat dan penciptaan peluang pekerjaan baharu.


Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Datuk Seri Panglima Mohd Zuki bin Ali, dalam ucapan beliau semasa merasmikan Persidangan MyMudah @ PemudahCara Sabah Maju Jaya (SMJ) Peringkat Negeri Sabah 2024 dengan tema ”Sabah Produktif, Sabah Maju Jaya” berkata, ”Persidangan pada hari ini merupakan manifestasi Kerajaan, merentas peringkat kebangsaan dan Negeri, dalam memastikan perkhidmatan awam yang berintegriti, cekap, dan telus kepada komuniti perniagaan dan seluruh masyarakat. Selain itu, inisiatif ini merupakan cerminan kolaborasi utuh antara pihak kerajaan dan swasta, berteraskan pendekatan ’whole-of-nation’, dalam sama-sama komited membangunkan Negara Malaysia”.


Inisiatif MyMudah adalah pendekatan bukan fiskal kerajaan untuk membantu pemain industri dan perniagaan dengan mengenal pasti dan mengurangkan beban peraturan tidak wajar bagi meminimumkan kos pematuhan peraturan, mewujudkan peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi. Menurut Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, dalam menghayati aspirasi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan platform yang mempunyai objektif dan matlamat yang sejajar dengan MyMudah iaitu PemudahCara Sabah Maju Jaya (SMJ) yang merupakan inisiatif tadbir urus menambah baik urusan menjalankan perniagaan di Sabah. Penubuhan PemudahCara SMJ merupakan manifestasi kerjasama antara sektor perkhidmatan awam dan sektor swasta dalam meningkatkan keberkesanan tadbir urus dan sebagai platform menerima cadangan penambahbaikan kualiti peraturan serta cadangan inisiatif baharu daripada pemain industri berkaitan perniagaan dan isu-isu lain yang berkaitan.


Pelaksanaan inisiatif ini adalah salah satu inisiatif di bawah Amalan Baik Peraturan (Good Regulatory Practice – GRP) Sabah selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan SMJ 1.0:2021-2025) dalam Pemboleh Daya Keberkesanan dan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan, dan Pemboleh Daya Kecemerlangan Tadbir Urus yang Berintegriti serta menyokong konsep “Membangun Malaysia MADANI” dalam memeta hala tuju Malaysia menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera.


Zahid Ismail, Ketua Pengarah MPC menyatakan produktiviti negeri Sabah berupaya meningkat sebanyak 5 peratus setahun melalui pelaksanaan tiga usaha utama. Pertama; perlu ada kerjasama erat, merentas sektor dan industri, merentas Daerah, Negeri dan Kerajaan Persekutuan, dan merentas mana-mana perbezaan yang wujud. Kedua; perlu ada perubahan minda dan proses kerja serta amalan pengurusan di segenap peringkat dan diuruskan dengan baik dan berterusan. Ketiga; apa jua intervensi atau perubahan yang ingin dilaksanakan, perlu dimulakan dengan ujikaji pada skala kecil untuk mengukur keberkesanan dan impaknya. Pendekatan berasaskan bukti ini membantu pelaksanaan pada skala yang lebih besar secara cekap dan berkesan.


MPC komited dalam usaha memacu produktiviti negara ke arah mencapai sasaran pertumbuhan 3.7% setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), melalui program peningkatan produktiviti seperti pembangunan bakat, penerimagunaan teknologi dan mereformasi peraturan.


Tamat.


Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: