Kolaborasi Strategik antara Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Pemangkin Kepada Peningkatan Produktiviti Organisasi Sektor Awam Negeri Sarawak yang Berimpak Tinggi Melalui Inisiatif Business Excellence 

20 Mac 2024, Kuching – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak dengan kolaborasi inovasi dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) komited dalam usaha peningkatan produktiviti dan penambahbaikan perkhidmatan serta pengurusan organisasi sektor awam di Negeri Sarawak yang lebih berdaya saing dan mampan.


Pengarah JAIS, YBhg. Datu Haji Khalidi bin Haji Ibrahim dalam ucapan beliau semasa Majlis Apresiasi JAIS 2024 di sebuah hotel di Kuching semalam berkata, “Saya ingin menzahirkan sekalung penghargaan kepada MPC Wilayah Sarawak atas kerjasama bagi menjayakan inisiatif BE di JAIS. Tidak lupa juga kepada semua warga JAIS yang telah memberikan komitmen dan sokongan yang padu sepanjang pelaksanaan inisiatif ini dilaksanakan”.


“Melalui 7 kriteria utama iaitu Kepimpinan (Leadership), Perancangan (Strategy), Maklumat (Information), Pelanggan (Customers), Sumber Manusia (Workforce), Proses (Process) dan Hasil (Result), saya yakin inisiatif BE ini akan menjadi batu loncatan kepada JAIS untuk mencapai kecemerlangan yang optima dan berterusan ke peringkat global”.


Menerusi kolaborasi strategik ini, JAIS telah diberikan pengiktirafan sebagai organisasi sektor awam yang pertama di Sarawak dianugerahkan sijil Malaysia Business excellence Framework (MBEF) melalui intervensi inisiatif BE selama 6 bulan iaitu bermula Jun hingga Disember 2023.


Dr Mazlina Shafi’i, Pengarah MPC Wilayah Sarawak, berkata “Saya ingin mengucapkan tahniah & syabas kepada JAIS yang telah menunjukkan iltizam dan azam dalam menyemarakkan kecemerlangan serta peningkatan daya saing organisasi yang mampan melalui inisiatif BE. Saya berharap agar kerjasama utuh bersama JAIS ini dapat direalisasikan melalui lain-lain inisiatif produktiviti berimpak tinggi anjuran MPC”.


Beliau menambah “Selari dengan rangkakerja dayasaing yang mengukur kecekapan perniagaan melalui ketangkasan organisasi, saya yakin, pelaksanaan inisiatif BE ini akan menjadi pemangkin untuk menyebar luas konsep BE kepada organisasi-organisasi di Sarawak terutamanya sektor awam dan seterusnya menjadi sebahagian dari komuniti BE. Organisasi yang cemerlang ini diharap akan menjadi model rujukan dan penyuntik semangat serta persaingan sihat di kalangan sektor awam di Negeri Sarawak khasnya”.


Inisiatif BE merupakan pendekatan praktikal dan holistik untuk mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pengurusan organisasi yang berpaksikan kepada

peningkatan produktiviti organisasi yang berimpak tinggi. Selain itu, organisasi awam dan swasta di Sarawak diseru terus mengerakkan inisiatif BE dalam usaha

memastikan kecemerlangan organisasi di peringkat global.


Tamat.


Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: