MPC dan IRDA Kukuhkan Sinergi Dalam Memperkasa Bakat Tempatan Seiring Dengan Keperluan Industri Semasa

23 Februari 2024, Johor Bahru – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) komited memperkukuhkan misi untuk membangunkan bakat tenaga kerja tempatan bagi memenuhi keperluan industri di negeri Johor.

 

Menurut Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Selatan, Encik Mohd Azwan Mohd Salleh, program Academy in Industry (AiI) merupakan satu kolaborasi inovatif di antara industri, akademia dan agensi kerajaan untuk meningkatkan pencapaian pendidikan negara, mengurangkan kebergantungan tenaga pekerja asing berkemahiran rendah dan mengurangkan jurang ketidakpadanan kemahiran dalam industri.  Program ini dilaksanakan berdasarkan kepada pendekatan demand-driven atas dasar permintaan industri melalui konsep Place and Train.

 

AiI memberi peluang kepada belia untuk mendapat sijil pengiktirafan kemahiran dalam tempoh pekerjaan. Program pembelajaran berasaskan kerja ini membolehkan anak-anak muda bekerja dalam bidang teknikal di industri dan pada masa yang sama memperoleh Sijil Kemahiran, yang boleh digunakan untuk kemajuan karier dan pendidikan.

 

AiI sekaligus dilihat dapat membantu mengurangkan pengangguran dan meningkatkan tahap pencapaian pendidikan rakyat Malaysia. Dalam jangka masa panjang, AiI mampu membangunkan tenaga kerja mahir yang diterjemahkan dengan gaji dan upah pekerja yang lebih tinggi.

 

Ini merupakan langkah progresif dalam memastikan bakat industri tempatan sentiasa relevan dan berdaya saing sekaligus ia membantu mengurangkan kebergantungan pekerja asing berkemahiran rendah, terutama di sektor pembuatan.

 

Program ini juga menyokong sasaran Kajian Separuh Penggal (KSP) RMKe-12 Malaysia yang menyasarkan pertumbuhan pekerja mahir sebanyak 35% merentasi pelbagai sektor pada tahun 2025. Sehingga Disember 2023, hanya 29.6% pekerja mahir daripada 15.4 juta pekerja di Malaysia.

 

"MPC sedang mengenalpasti syarikat-syarikat di Johor yang berpotensi untuk menjadi rakan strategi AiI bagi mempercepatkan pembangunan kemahiran bakat tempatan yang relevan dan produktif dalam memenuhi keperluan industri semasa," katanya bersempena program Iskandar Malaysia Productivity Outlook (IMPRO2024) anjuran Iskandar Regional Development Authority (IRDA) dan MPC.

 

Program yang dihadiri oleh 109 peserta mewakili pelbagai industri di negeri Johor bertumpu kepada pendedahan berkaitan kepentingan pembangunan tenaga kerja mahir dan penerimagunaan teknologi dalam memacu produktiviti industri.

 

Antara perkongsian lain kepada industri adalah mengenai Smart Manufacturing Solutions dari MAXIS dan Malaysia Smart Manufacturing Award dari Malaysia Industrial Development Finance (MIDF).


Tamat.


Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama. 


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: