MPC Komited Merealisasikan Pembaharuan Peraturan Melalui F8

30 Januari 2024, Kuantan – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) komited untuk meningkatkan produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan perusahaan melalui pendekatan “Membina Ekosistem Yang Teguh”.

 

Rancangan Malaysia Ke-12 menyasarkan pertumbuhan produktiviti Malaysia sebanyak 3.7% dan bagi negeri Pahang, MPC mensasarkan pertumbuhan produktiviti sebanyak 7% iaitu menghampiri purata nasional dengan sokongan faktor-faktor pengganda produktiviti iaitu kecekapan peraturan perniagaan (ease of doing business), pengurusan teknologi dan keperluan bakat berkemahiran tinggi pada tahun 2024.

 

”Fast 8” atau lebih dikenali sebagai F8 telah diperkenalkan pada tahun 2022 dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) bagi mempercepatkan kelulusan permohonan permit kepada pelabur di mana kelulusan telah ditambahbaik daripada 24 bulan kepada 8 bulan sahaja bermula permohonan sehingga syarikat dapat beroperasi. Ujikaji peraturan sedang dilaksanakan bagi memastikan keberkesanan pendekatan ini dalam memudahkan urusan perniagaan.

 

Dalam Mesyuarat Invest Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi menggesa semua agensi yang terlibat mengambil perhatian kepada pendekatan F8 dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan memudahcara sebarang isu dan cabaran yang dihadapi oleh pelabur dalam menjalankan perniagaan.


Pada mesyuarat yang sama, Pengarah MPC Pahang, Dr. Noor Aishah Hj. Hassan mengajak semua agensi untuk bersama-sama menyokong F8 dalam memastikan Pahang menjadi destinasi utama pilihan pelabur. Tambah beliau lagi usaha ini selaras dengan rangka kerja Ekonomi MADANI yang mana salah satu sasarannya adalah memastikan Malaysia berada di kedudukan 12 teratas dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) pada tahun 2030. Sasaran ini dapat dicapai dengan sinergi oleh semua agensi negeri ke arah memudahkan urusan perniagaan, perdagangan, pelaburan dan seterusnya melonjakkan produktiviti, daya saing dan ekonomi negeri menyamai purata nasional menjelang tahun 2030.

 

Tamat.



Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama. 


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: