Pertanian Kluster Ladang Cili Tingkatkan Produktiviti Agromakanan Dan Ekonomi Pasir Puteh, Kelantan

1 Februari 2024, Pasir Puteh – Dalam usaha meningkatkan produktiviti dan kecekapan sektor agromakanan di Kelantan, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan, dan Komoditi Negeri Kelantan melancarkan program pertanian kluster cili menggunakan teknologi moden di Kelantan Bio Valley, Daerah Gong Datok, Pasir Puteh, Kelantan. Projek inovatif ini diterajui oleh GrasiCili dan akan beroperasi di atas tanah berkeluasan 10 ekar berkonsepkan pertanian kontrak.

 

Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail berkata, projek rintis ini mampu melonjak produktiviti dan nilai tambah sektor pertanian, selain membuka peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan B40 dan miskin tegar di Jajahan Pasir Puteh, dan Negeri Kelantan umumnya.  

 

“Model pertanian economies of scale ini terbukti berdaya saing dan bernilai tinggi apabila kos dapat dikurangkan melalui skala operasi dan pengeluaran yang tinggi dengan penggunaan teknologi dan automasi, pemantauan kualiti, kawalan risiko, dan sebagainya. Aktiviti operasi, infrastruktur, logistik, dan pemasaran juga dijalankan secara berpusat dan setempat memastikan kecekapan dan produktiviti ladang di tahap optimum. Sistem pemasaran yang sistematik oleh GrasiCili juga akan memastikan 100% hasil tanaman dijual dan tiada lambakan”.

 

Menurut beliau, ladang berkeluasan 10 ekar ini mampu menghasilkan 65 tan metrik cili semusim, bersamaan 130 tan metrik setahun. Projek ini berpotensi untuk dikembangkan secara meluas di seluruh Negeri Kelantan, ia bukan sahaja bakal melonjak produktiviti sektor pertanian, malah mampu menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Kelantan, membuka peluang pekerjaan, seterusnya meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat di negeri ini.

 

Projek ini, yang sedang melalui proses pembersihan tanah, dijangka akan mula beroperasi pada bulan Mac 2024. Ladang cili ini juga merupakan salah satu aktiviti pertanian yang sedang dibangunkan di Kelantan Bio Valley, milik Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

 

MPC komited memacu produktiviti dan daya saing ke arah sasaran pertumbuhan 3.7% produktiviti negara di dalam RMKe-12, melalui pelbagai misi peningkatan produktiviti seperti memperkasa bakat, mempercepatkan penerimagunaan teknologi, dan mereformasi peraturan.


Tamat.


Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama. 


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my


Share by: